
KAMPUNG pemenang pingat emas acara terjun 10 meter platform dari China, Quan Hongchan terpaksa ditutup kepada orang ramai dan juga sanak saudara selepas kemenangannya di temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Menurut laporan akhbar tempatan, kampung itu terpaksa ditutup kerana terlalu ramai orang berkumpul hingga menyebabkan kesesakan trafik dan juga bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Kejayaan Hongchan merangkul pingat emas dengan tiga terjunan ‘perfect 10’ memukau dunia seterusnya menjadi perhatian warga tempatan yang mahu berkongsi kegembiraan dengannya.

Pendedahan Hongcahn yang mahu menggunakan wang kemenangan untuk membantu keluarganya yang miskin dan mengubati ibunya yang sakit telah menyentuh hati banyak pihak.
Atlet berusia 14 tahun itu berkata selepas kemenangan bahawa mahu mencari banyak wang untuk mengubati penyakit ibunya dan juga melawat taman tema kerana dia belum pernah ke sana.
Sementara itu, sebuah hospital di kampungnya di Zhanjiang, Wilayah Guangdong mengumumkan pada Jumaat bahawa mereka akan menanggung sepenuhnya kos rawatan ibu Hongchan dan juga datuknya yang sakit.
Menurut kenyataan oleh jurucakap hospital, mereka berbangga dengan kejayaan Hongchan menjadi juara Olimpik dan mereka berbesar hati untuk membantu keluarganya.

Selain itu, tiga syarikat di Zhanjiang juga telah menawarkan Hongchan sebuah rumah, kedai dan juga bonus buatnya.
Keluarganya juga ditelah ditawarkan wang tunai sebanyak 200,000 yuan oleh seorang ahli perniagaan tetapi ditolak oleh ayah atlet itu.
Tidak cukup dengan itu, beberapa taman tema, zoo dan resort juga menawarkan Hongchan dan keluarganya pas masuk percuma seumur hidup sebagai tanda penghargaan.
Tahniah buat Hongchan kerana berjaya membuka mata dan menyentuh hati banyak pihak.
Add Comment