Oleh : SUBKHI SUDARJI / IZARI ROSLI
KUMPULAN terakhir kontinjen Malaysia yang menggalas cabaran pada temasya Olimpik Tokyo 2020 selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur(KLIA) hari ini.
Jaguh berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Shahrom dan atlet akuatik terjun negara Pandalela Rinong dan atlet golf wanita negara Kelly Tan, merupakan antara 28 orang ahli kontinjen terakhir bagi temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Turut sama dalam penerbangan MH071 ialah Menteri Belia dan Sukan, Dato’ Sri Reezal Merican Naina Merican, Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Dato’ Ahmad Shapawi Ismail.
Ketibaan mereka semua disambut Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal , Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan , Datuk M Noor Azman Taib, Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Timbalan Ketua Pengarah (Strategik) MSN, Suhardi Alias,
Reezal berkata, semua atlet yang mewakili negara ke temasya Sukan Olimpik edisi ke-32 ini telah mempamerkan aksi yang hebat disamping memberikan saingan yang terbaik kepada peserta lain di temasya sukan berkenaan.
Beliau turut optimis bahawa para atlet negara mempunyai komitmen tinggi khususnya atlet muda yang baru sahaja menimba pengalaman di Jepun bagi mensasarkan lebih banyak pingat untuk rakyat Malaysia pada temasya Sukan Olimpik Paris 2024.
Pada temasya Olimpik kali ini, Malaysia telah membawa pulang pingat Perak bagi acara berbasikal trek (keirin) yang disumbangkan oleh Datuk Azizulhasni Awang dan pingat gangsa bagi acara badminton (beregu) yang disumbangkan Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.
Kesemua mereka yang tiba hari ini akan menjalani kuarantin 14 hari.
Add Comment