Olimpik 2020

“Uneasy this time”, Azizulhasni luah perasaan sedih dan gembira


Oleh: SURYATI MOHD NOR

TIADA apa yang hendak diperkatakan mengenai aksi perlumbaan akhir yang dilalui jaguh keirin negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang memandangkan beliau sudah melakukan lebih daripada yang terbaik.

Ternyata bukan rezekinya lagi untuk merangkul pingat emas di Sukan Olimpik Tokyo 2020 walaupun pencapaiannya ini lebih baik berbanding edisi di Rio 2016 yang merangkul pingat gangsa.

Jelas diwajahnya kelihat terkilan dan kecewa kerana beliau sudah menghampiri langkah akhir untuk meraih emas, tetapi itulah yang dikatakan belum ada rezekinya.

“Sudah tentu saya rasa sedih juga. Sebab datang sini untuk menang emas. Dan kita semua tahu jangkaan besar untuk menang emas, hanya saya seorang harapan emas pada hari terakhir untuk kontinjen Malaysia.

“(Ketika perlumbaan) Kalau saya pergi awal, ia terlalu risiko kerana ada tiga lagi pelumba di depan saya. Manakala Jason (pelumba Great Britain) berada dalam posisi yang baik.

“Di belakangnya pelumba Australia (Matthew Glaetzer) yang banyak sangat gap (dari Jason) lebih kurang 20 meter. Tetapi inilah sukan, ada jatuh dan bangun. Benda tak boleh nak control.

“Tetapi saya nak seluruh rakyat Malaysia tahu bahawa dari awal lagi saya sudah melakukan lebih daripada terbaik,” luahnya selepas perlumbaan.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu berusia 33 tahun ini bagaimana pun tidak dapat menahan air mata kesedihannya dan mengakui sepanjang perlumbaan hanya terbayangkan wajah anak-anak dan isterinya, Datin Athiah Ilyana Abd Samad.

“Masa berkayuh hanya ingat anak-anak dan isteri di Melbourne. Ingat juga mak ayah yang saya tinggalkan sejak form three. Tinggal mak sorang-sorang. Ayah kat hospital kena mild stroke. Adik-adik saya cakap suruh fokuskan Olimpik. Saya tak ada option… tanggungjawab hanya untuk negara. Uneasy this time.

“Saya harap mereka semua tidak kecewa dengan saya. Saya sudah buat yang terbaik untuk mereka, Malaysia dan sudah tentu untuk sukan negara,” luahnya.

Biarpun tidak berjaya meraih pingat emas, hakikatnya Azizulhasni sudah membuatkan seluruh rakyat Malaysia sangat berbangga dengan apa yang dicapainya itu.

Isterinya juga turut meluahkan perasaan bangga dengan kejayaan Azizulhasni dengan merangkul pingat perak.

Manakala media sosial hari ini, nama Azizul yang digelar The Rocket Pocketman menjadi trending sepanjang hari dengan pelbagai ucapan tahniah dan kata-kata semangat yang membanggakan.

Pada perlumbaan akhir ini pingat emas dimenangi pelumba Great Britain Jason Kenny dan gangsa oleh Harrier Lavreysen (Belanda).


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: