Bola Sepak

Menang, seri atau kalah kami tetap bersama – Kurniawan


Kurniawan mengakui kecewa dengan aksi dipamerkan anak didiknya menyebabkan mereka terus gagal mengutip mata penuh.

Oleh : SUBKHI SUDARJI

PENGENDALI Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto menyifatkan mereka tetap bersama dalam satu pasukan sama ada menang, seri mahu pun kalah.

Tegasnya, kekalahan dalam sesuatu perlawanan bukan kegagalan seorang pemain semata-mata, sebaliknya ia dianggap sebagai kegagalan pasukan.

“Ia kegagalan pasukan, bukan kegagalan seorang, bukan hanya kegagalan penjaga gol. Kalah, menang atau seri bersama. Saya tidak menyalahkan mana-mana pemain,” ujarnya pada sidang media selepas perlawanan menentang KL City yang berkesudahan 1 – 1, di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi.

Mengulas aksi anak didiknya, dia mengakui kecewa kerana kesilapan yang dilakukan menyebabkan Sabah terpaksa berkongsi satu mata dengan pasukan lawan.

“Kita boleh mengawal permainan tapi saya akui kita menghadapi masalah penyudah kerana ada beberapa peluang untuk menghasilkan gol tidak terjadi seperti yang diharapkan.

“Kemudian, yang paling penting bagaimana kita harus membayar kesilapan kita dengan gol. Maksudnya, saya tidak menyalahkan sesiapa tapi ia penting untuk evaluasi pasukan kerana dalam sesi ini kita banyak hilang mata disebabkan kesilapan kita sendiri.

“Justeru, saya minta pemain untuk fokus dan berikan sepenuh tumpuan sepanjang 90 minit permainan kerana kesilapan kita akan dibayar dengan gol lawan,” katanya.

Pada perlawanan tersebut, skuad bimbingan Bojan Hodak mendapat gol percuma pada minit ke-22 selepas penjaga gol Sabah, Rozaimie Rohim gagal menangkap bola yang cuba diberikan kepadanya oleh pemain pertahanan, Randy Baruh, menyebabkan bola menerjah gawang.

Keputusan malam tadi meletakkan The Rhinos di tangga ketujuh carta liga dengan mengutip 19 mata selepas memenangi empat permainan, tujuh kali seri dan enam kali kalah daripada 17 permainan keseluruhan setakat ini.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: