Bola Sepak

JDT semakin hampir gelaran ke 8 berturut-turut

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Aksi pemain import JDT, Gonzalo Cabrera (tengah) ketika cuba meloloskan diri dari kawalan pertahanan MUFC, Razman.

JUARA bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) terus konsisten dalam mempertahankan kelebihan di tangga teratas di Liga Super selepas bekerja keras menundukkan Melaka United FC, 1-0 di Stadium Hang Jebat.

Jaringan tunggal menerusi sepakan penalti Bergson da Silva pada minit ke-2 sudah memadai buat anak buah Benjamin Mora meraih kemenangan kali keenam berturut-turut di pentas Liga Super.

Mora menyifatkan pertemuan dengan Melaka antara aksi sukar sambil memuji kewibawaan lawan kerana berjaya memberikan tentangan sehingga penghujung perlawanan.

“Melaka bermain bijak pada hari ini malah pemain importnya cukup bagus, sesuatu yang baik untuk Liga Malaysia dan kami bernasib baik apabila mendapat sepakan penalti pada awal permainan dan berjaya disudahkan oleh Bergson.

“Bukan mudah untuk pemain apabila mereka kena seimbangkan antara berikan tekanan kepada lawan serta bermain secara dinamik sepanjang waktu perlawanan.

Mora akui tentangan sengit dipamerkan MUFC.

“ Kami memang mempunyai beberapa peluang untuk mendapatkan keputusan yang lebih selesa tetapi peluang tidak disempurnakan terutama menerusi 
Gonzalo Cabrera pada babak pertama manakala di separuh kedua melalui Bergson, Arif Aiman dan yang terakhir sekali menerusi Mohamadou Sumareh.

“ Mungkin kami boleh menang dengan dua atau tiga jaringan tetapi tidak terjadi pada kali ini kerana bukan selalu dalam bola sepak kami boleh sempurnakan semua peluang yang ada.

“ Cuma yang baiknya adalah pasukan ini punyai sistem penggiliran pemain yang menjadi setakat ini dan membuka ruang kepada semua pemain sentiasa berada dalam keadaan terbaik dalam tiap perlawanan, ” katanya.

Kali terakhir JDT keciciran mata ialah semasa seri 1-1 dengan Kuala Lumpur City pada 30 April lalu dan kemenangan ini meletakkan mereka 8 mata mengatasi pencabar terdekat, Terengganu FC yang yang mengumpul 34 mata sleepas menewaskan PJ City , 3-0 malam tadi.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: