
TEMASYA Sukan Olimpik Tokyo 2020 tahun ini menjadi medan atlet-atlet remaja membuat penampilan sulung sebagai olimpian dan ada antara mereka yang terus membawa pulang pingat.
Ini yang terjadi di lapangan papan selaju Ariake apabila tiga gadis remaja berjaya menguasai podium acara ‘Women’s Park’ sekaligus muncul podium termuda dalam sejarah Sukan Olimpik.
Pingat emas dimenangi wakil Jepun, Sakura Yosozumi yang berusia 19 tahun apabila berjaya mengumpul mata terbaik 60.09 untuk menidakkan peluang teman sepasukan untuk merebut gelaran juara olimpik.
Tempat kedua dan pemenang pingat perak menjadi milik Kokona Hiraki dengan catatan mata 59.04. Apa yang menarik, Kokona baru sahaja berusia 12 tahun dan muncul pemenang pingat olimpik termuda.
Gangsa pula milik peluncur 13 tahun dari Great Britain, Sky Brown yang mencatatkan mata 56.47 untuk menghalang penguasaan penuh Jepun dalam sukan papan selaju ini.

Acara Park ini memperlihatkan lapan peserta berentap di peringkat akhir dengan peserta paling berusia adalah 23 tahun. Sememangnya sukan papan selaju ini sering menampilkan atlet remaja bersesuaian dengan kategorinya sebagai sukan ekstrim.
Ketiga-tiga pemenang mula bermain papan selaju di awal usia dengan Brown mula bermain seawal usia 3 tahun manala Hiraki bermula pada umur 5 tahun dengan pendedahan menerusi keluarga.
Sakura Yosozumi pula adalah peluncur Jepun pertama untuk mendapat pingat di Sukan X-Game Dunia apabila mendapat tempat ketiga pada 2018 di Minneapolis, Amerika Syarikat pada usia 16 tahun
Sukan papan selaju mula dipertandingkan di Sukan Olimpik pada Temasya Tokyo dan bakal dianjurkan juga pada Temasya Paris 2024. Jadi masih panjang lagi perjalanan peluncur-peluncur muda ini untuk mempertahankan pingat mereka.
Bagaimanakah mentaliti remaja-remaja ini dibentuk untuk beraksi baik pada kejohanan besar antarabangsa. Ini persoalan yang perlu kita perhalusi jika mahu meningkatkan mutu sukan di negara kita.





Add Comment