Olimpik 2020

“Terima Kasih rakyat Malaysia”


Aaron/Wooi Yik tiba di negara dengan pingat yang dimenangi. Foto: BAM

WIRA badminton negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang memenangi pingat gangsa beregu lelaki di Sukan Olimpik Tokyo 2020 tiba di tanah air pada Isnin dengan senyuman lebar di atas kejayaan yang dikecapi.

Aaron-Wooi Yik bersama kumpulan Kontinjen Malaysia seramai 23 orang termasuk 11 atlet daripada sukan memanah, olahraga, menembak dan badminton tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines penerbangan  MH0071.

Kesemua atlet negara itu antaranya Khairul Anuar Muhammad daripada sukan memanah, Azreen Nabila Alias (olahraga) serta pemain badminton perseorangan lelaki dan wanita Lee Zii Jia dan Soniia Cheah Su Ya, serta pemain beregu campuran Chan Peng Soon  yang masing-masing telah menamatkan cabaran di Tokyo.

Aaron-Wooi Yik yang juga gandingan di ranking kesembilan dunia sempat berhenti seketika untuk memberikan lagak gaya bersama pingat gangsa Sukan Olimpik yang dimenangi mereka sebelum mengucapkan: “Terima kasih rakyat Malaysia,”.

Aaro/ WooI Yik mengucapkan ‘Terima Kasih Malaysia’. Foto: BAM

Mereka kemudian bersama-sama kumpulan kontinjen negara bergerak menaiki bas untuk menuju ke lokasi kuarantin wajib selama 14 hari sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Timbalan Menteri Belia dan Sukan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi antara individu yang meraikan kepulangan atlet-atlet negara itu.

Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN) Ahmad Faedzal Md Ramli dan Setiausaha Agung Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Datuk Kenny Goh.

Pingat gangsa diraih Aaron-Wooi Yik di Tokyo merupakan pingat pertama Kontinjen Malaysia pada temasya sukan berprestij dunia itu, dan pasangan muda negara itu meraihnya dengan penuh bergaya.

Aaron, 24 dan Wooi Yik, 23, bangkit daripada ketinggalan di set pertama untuk menewaskan gandingan Indonesia yang juga pilihan kedua, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, 17-21, 21-17, 21-14 dalam aksi penentuan pingat gangsa yang berlangsung hampir sejam, Sabtu lepas.

Kejayaan mereka di Tokyo memastikan kem badminton negara tidak pulang dengan tangan kosong selepas diletakkan sebagai sukan sandaran meraih pingat selain berbasikal trek dan terjun.

Sebelum ini, beberapa atlet lagi antaranya penerjun wanita Leong Mun Yee, ratu gimnastik artistik Farah Ann Abdul Hadi dan pemain beregu campuran Goh Liu Ying telah pulang ke tanah air sejak 26 Julai lalu selepas menamatkan saingan di Tokyo. – Bernama


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: