Olimpik 2020

Bola sepak wanita: Dua pasukan pilihan kandas aksi suku akhir


Pasukan Brazil tewas menerusi aksi penentuan penalti.

DUA pasukan pilihan, Brazil dan Belanda tewas di peringkat suku akhir acara bola sepak wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 menerusi sepakan penalti dengan Jepun juga ditunjukkan jalan keluar.

Brazil gagal mempamerkan persembahan baik ketika berdepan Kanada untuk terikat 0-0 sehingga tamat 120 minit permainan dan akhirnya tumpas 4-3 dalam penentuan penalti apabila gagal menyempurnakan dua sepakan terakhir.

Belanda harus menyalahkan diri sendiri apabila gagal menjaringkan penalti pada masa tambahan ketika kedudukan terikat 2-2 dan akhirnya tewas penentuan penalti kepada Amerika Syarikat 4-2.

Pemain-pemain USA meraikan kemenangan.

Penjaring terbanyak, Vivianne Miedema gagal pada penentuan penalti pertama sebelum pemain sensasi Amerika, Meghan Rapinoe tenang menyempurnakan sepakan beliau untuk membawa pasukannya ke separuh akhir.

Dalam satu lagi pertembungan, tuan rumah Jepun jelas tidak dapat menandingi kekuatan Sweden apabila tunduk 1-3 dan gagal untuk melakukan kejutan untuk layak lebih jauh di tempat sendiri.

Australia menjadi satu lagi pasukan layak ke separuh akhir apabila membenam cabaran Great Britain dengan kemenangan 4-3 dalam pertembungan yang berlanjutan hingga masa tambahan.

Jaringan Samantha Kerr pada minit ke-89 memadam kelebihan Great Britain yang ketika itu mendahului 2-1 sebelum dua lagi jaringan pada masa tambahan memberikan kemenangan buat Australia.

Peringkat separuh akhir akan berlangsung pada 2 Ogos ini dengan Amerika Syarikat bakal bertemu Kanada manakala Australia bakal berhadapan pasukan pilihan, Sweden dalam satu lagi perlawanan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading