
PEMANAH muda Korea Selatan, An San membuktikan umur bukanlah penghalang untuk menyinar apabila dengan tenang merangkul tiga pingat emas pada usia 20 tahun dalam penampilan pertamanya di temasya Olimpik.
Dari lima pingat emas yang dipertandingkan dalam sukan memanah, tiga menjadi miliknya apabila berjaya memenangi acara memanah recurve individu, berpasukan wanita dan juga acara campuran bersama rakan sepasukan berusia 17 tahun.
Acara memanah memang menjadi lubuk pingat emas buat Korea Selatan sejak dahulu tetapi temasya Tokyo ini menyaksikan kemunculan kumpulan pemanah muda dan hasilnya tetap sama iaitu iaitu menang.

An San membuktikan pemilihan beliau ke Olimpik tidak salah apabila berjaya mengenepikan pemanah ranking pertama, Deepika Kumari dari India pada peringkat suku akhir dengan kemenangan 6-0.
Dia juga berjaya menyerap tekanan pemanah Amerika Syarikat pada peringkat separuh akhir apabila berjaya memenangi ‘shoot-off’ 6-5 dan berjaya layak ke final bertemu pilihan keempat dari Rusia.
Dalam aksi final yang mendebarkan sekali lagi beliau berjaya bangkit dari ketinggalan sebelum sekali lagi menang menerusi ‘shoot-off’ 6-5 untuk pingat emas ketiga beliau.
Menceritakan penglibatannya dalam sukan memanah ini di sekolah rendah, pada awalnya dia mengalami kesukaran untuk mendaftar kerana kelab memanah hanya terbuka untuk pelajar lelaki.
Bagaimanapun, kerana minat yang mendalam, ibu bapanya memujuk pihak sekolah agak membenarkan beliau menyertai dan usaha mereka membuahkan hasil apabila dia berjaya mengharumkan nama negara dengan persembahan luar biasa.
An San juga kini turut memegang rekod olimpik baharu dengan 680 mata dari 720 mata.

“Saya tidak sangka dapat memecahkan rekod. Saya gembira kerana ini adalah temasya pertama saya dan saya berbangga kerana berjaya membuat rekod olimpik yang baharu” kata beliau selepas tamat acara individu.
Namun tidak semua rakyat Korea Selatan berbangga dengan kejayaan ini apabila An San mendapat kecaman di internet dengan dituduh ‘feminist’ oleh pengguna sosial media kerana memotong rambutnya hingga pendek.
Bagaimanapun dia membuktikan segala kecaman itu tidak meninggalkan kesan kepadanya dengan kejayaan demi kejayaan di olimpik dan akhirnya kini berada di ranking nombor satu dunia. Mentaliti.





Add Comment