Olimpik 2020

“Saya akan kembali ke Melaka” – Hidilyn Diaz


Diaz menjalani latihan di sebuah kampung di Jasin. Foto: AFP

PEMENANG pingat emas acara 55 kilogram Hidilyn Diaz mengakui perjalanan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 bukanlah mudah.

“Perjalanan saya ke Tokyo 2020 amat mencabar. Saya amat bersyukur kepada Tuhan kerana menghantar saya ke Malaysia untuk berlatih dengan baik.

“Dia mengirimkan kepada saya ramai orang seperti komuniti angkat berat dan Filipina di Malaysia, yang banyak membantu saya dalam perjalanan ini.

“Saya berterima kasih kepada orang di Jasin, Melaka, yang memberikan saya tempat tinggal dan gimnasium ketika saya berada dalam kebimbangan tidak tahu untuk pergi ke mana. Saya mungkin tidak berada di rumah tetapi saya berasakan seperti berada di rumah sewaktu di Malaysia.

“Kepada seluruh rakan saya di Melaka dan semua orang Malaysia yang membantu saya, terima kasih banyak kerana membantu kami. Saya mungkin tidak dapat melaluinya atau memenangi pingat emas ini tanpa anda.

“Terima kasih, Malaysia Boleh,” katanya dalam satu sidang media bersama Astro Arena.

Diaz merangkul pingat emas pertama buat Filipina.

Diaz turut berkata bahawa dia bersedia untuk kembali ke Melaka bagi meneruskan latihannya.

“Saya akan kembali ke Melaka. Bagi saya, saya masih perlu meneruskan latihan untuk mengekalkan status saya. Tiada yang mustahi. Anda perlu percaya kepada jurulatih dan diri sendiri.

“Kita tidak selalu akan menjadi juara dan masih perlu berlatih dan berusaha keras.

“Saya fikir Melaka adalah tempat terbaik untuk latihan saya sepanjang pendemik ini,” katanya lagi.

Diaz yang berusia 30 tahun merupakan anggota Tentera Udara pada awalnya datang berlatih di Malaysia pada Februari 2020 kerana jurulatihnya dari Cina, Gao Kaiwen, berpendapat itu lebih baik untuk dirinya jika mahu memberi tumpuan untuk layak ke Tokyo.

Diaz berterima kasih kepada rakyat Malaysia terutama penduduk di Jasin yang banyak membantunya ketika latihan di Jasin.

Menurut laporan AFP, dalam beberapa minggu berlaku sekatan pergerakan akibat Covid-19 yang menyebabkan Diaz berhadapan dengan situasi di mana gimnasium ditutup, tidak ada akses kepada peralatan angkat berat dan ketidakpastian sama ada sukan itu akan diadakan atau tidak.

Tetapi Diaz yang tidak pernah menyerah kalah berjaya mencari masa untuk mengumpulkan wang melalui sesi latihan dalam talian untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada keluarga miskin di kampung halamannya yang menderita akibat pandemik Covid-19.

Pada bulan Oktober tahun lalu, Diaz dan pasukannya berpindah ke kawasan perkampungan di Jasin, Melaka di mana mereka tinggal di rumah yang dimiliki oleh seorang pegawai persatuan angkat berat Malaysia.

Dan daripada kerja keras itu, Diaz akhir menyumbangkan emas pertama dalam sejarah negaranya hari ini apabila mengetepikan cabaran penyandang juara yang juga peserta pilihan dari China,  Liao Qiuyun.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: