Olimpik 2020

Harapan raih pingat dari Pandelela-Mun Yee tidak kesampaian


Mun Yee-Pandelela menamatkan saingan di tempat kelapan.

HARAPAN untuk melihat pingat pertama dirangkul pada hari kelima Sukan Olimpik Tokyo 2020 tidak kesampaian apabila pasangan terjun negara Pandelela Rinong-Leong Mun Yee hanya menamatkan saingan di tempat kelapan dalam acara 10 meter platform seirama.

Kesilapan pada terjunan ketiga yang kurang baik menjadikan mereka ketinggalan dalam mengumpul mata seterusnya.

Kesilapan yang dilakukan itu diakui Leong Mun Yee yang memberitahu aksi kurang memuaskan bukan seperti yang dilakukan ketika sesi latihan.

“Memang tak puas hati dengan ‘dive’ ketiga. Namun kami berdua sudah cuba membuat yang terbaik,” jelasnya selepas aksi final itu.

Pasangan ini mengumpul 277.98 mata yang menyaksikan mereka berada di kedudukan terakhir.

Manakala pasangan dari China Chen Yuxi/ Zhang Jiaqi menguasai kolam renang dengan mengumpul lebih 363.78 mata.

“Terima kasih kerana menonton dan menyokong kami. Kami sudah melakukan yang terbaik namun ternyata tidak ada tuah hari ini.

“Dari segi tekanan memang ada, namun kami sudah bersedia untuk terimanya.

“Kami perlu ‘move on’ dan ‘looking forward’ untuk aksi seterusnya,” jelas Pandelela.

Sementara itu pasangan dari Amerika Syarikat, Jessica Parratto dan Delaney Schnell meraih pingat perak manakala peserta dari Mexico G. Agundez Garcia dan A. Orozco Loza di tempat ketiga untuk pingat gangsa.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: