
Oleh : SUBKHI SUDARJI
“KAMI masih belum selamat dari zon penyingkiran”, tegas pengendali Melaka United, Zainal Abidin Hassan susulan kejayaan pasukannya membawa pulang satu mata dari Stadium Darul Makmur malam tadi.
Bagi Zainal, jurang perbezaan mata diantara pasukannya dengan Sri Pahang FC dan Perak FC tidaklah ketara dan mereka perlu berjuang untuk meraih kemenangan dan mengelakkan diri untuk terus berada dalam kelompok berkenaan.
“Memang saya jangkakan saingan sengit kerana siapa yang menang malam tadi akan menjarakkan diri dari zon bahaya.
“Kami belum selamat dan ada lapan lagi perlawanan yang perlu diharungi, apa pun satu mata yang diraih malam ini ditempat lawan dan menentang pasukan bekas juara bukanlah mudah,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.
Mengulas aksi pemainnya malam tadi, Zainal mengakui tuan rumah mendera barisan pemainnya bekerja keras memburu gol penyamaan.
“Gol awal hasil kecuaian pemain, namun saya bangga kami bangkit hingga wisel penamat, mereka mendera kami pada awalnya dan usaha yang tidak putus asa akhirnya menghasilkan satu mata,” katanya.
Pada aksi yang berlangsung malam tadi, pemain gantian Wan Zaharulnizam memastikan satu mata dibawa pulang pelawat apabila jaringannya pada minit ke 96 memadam kelebihan awal tuan rumah.
Ketika ini MUFC berada dikedudukan ke-10 dibelakang Sri Pahang FC dengan mengutip 12 mata hasil tiga kemenangan, enam seri dan lima kekalahan.





Add Comment