
Oleh: JJFIRDAUS
APA yang anda semua lakukan ketika berusia 12 tahun?
Kemungkinan anda tidak bertanding di Sukan Olimpik tetapi lain pula buat atlet ping pong Syria, Hend Zaza apabila melakukan debut pada Sabtu, 24 Julai lalu menjadikan dia atlet termuda bertanding di temasya kali ini.
Zaza adalah pemain Ping Pong termuda Olimpik dalam sejarah- dan olimpian termuda bertanding dalam mana-mana sukan sejak temasya Barcelona 1992. Zaza berusia 12 tahun dan 204 hari pada hari pertandingan.
Berikut adalah beberapa lagi olimpian muda yang perlu diberi perhatian oleh peminat sukan tanah air.
Sky Brown, peluncur papan selaju Great Britain baru sahaja menyambut hari jadinya yang ke-13 pada 12 Julai lalu adalah atlet termuda dalam sejarah olimpik kontinjen Great Britain dan pernah memenangi beberapa kejohanan antarabangsa sebelum ini.

Final acara papan selaju wanita membariskan majoriti atlet belasan tahun dengan atlet Brazil Rayssa Real dan atlet Jepun, Momiji Nishiya berusia 13 tahun manakala dua lagi peserta berusia 16 tahun dan seorang berusia 19 tahun.
Republik Rakyat China sering mempunyai barisan atlet pelapis dan untuk temasya kali ini membariskan Quan Hongchan, penerjun berusia 14 tahun. Dia juga akan bergandingan dengan teman sepasukannya berusia 15 tahun, Chen Yuxi dalam acara 10m papan anjal.
Kontinjen Amerika Syarikat pula membawa Katie Grimes, perenang berusia 15 tahun yang akan bersaing dalam acara 800 meter gaya bebas. Selain Katie, USA juga diwakili perenang 16 tahun Clair Curzan dan Lydia Jacoby 17 tahun manakala Colin Duffy juga 17 tahun bertanding dalam acara memanjat.
Kolam renang sekali lagi menjadi saksi penglibatan atlet muda apabila atlet Kanada, Summer McIntosh berjaya layak ke final acara 400 meter gaya bebas dan berjaya menamatkan perlumbaan di tangga keempat.

Kadangkala tertanya bagaimana atlet luar negara berjaya layak ke acara akhir Sukan Olimpik manakala atlet negara yang lebih berusia masih mahu mencari pengalaman dan bukannya memburu pingat.
Jelaslah dengan matlamat dan pembangunan sukan yang betul, usia bukanlah penghalang tetapi semangat, corak latihan dan pendedahan antarabangsa menjadi kunci utama kejayaan atlet-atlet antarabangsa ini.





Add Comment