Bola Sepak

MKN, KKM digesa ubah cara pemikiran, “Sampai bila sektor sukan perlu ‘lumpuh’ begitu lama?”


MAJLIS Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa untuk ubah cara pemikiran dan mengambil pendekatan lebih rasional dalam membenarkan penganjuran bola sepak antarabangsa selain sepatutnya membantu sebagai penasihat terbaik aktiviti sukan negara.

Menyokong penuh cadangan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang berhasrat menganjurkan dua siri perlawanan antarabangsa Tier 1 melibatkan skuad Harimau Malaya menerusi kaedah gelembung bioperubatan di negara ini pada September depan, pemerhati sukan tempatan, Dr. Pekan Ramli mempersoalkan sampai bila harus sektor sukan khususnya bola sepak perlu ‘lumpuh’ sebegitu lama.

“Takkan perlu kita tunggu sehingga tahun depan yang mana kes juga tidak semakin reda untuk memulakan sebarang pertandingan.

“MKN, Kementerian Belia dan Sukan bersama KKM sebaiknya melakukan kajian terperinci dengan mengambil contoh penganjuran sukan terutama liga bola sepak di Eropah.

“Mereka (MKN, KBS dan KKM) seharusnya menjadi penasihat utama bukan sahaja kepada FAM  malah kepada sektor sukan lainnya dalam penyelarasan SOP yang lebih baik untuk membantu aktiviti sukan dari terus tersekat ekoran kesan Covid-19 yang sehingga kini semakin meningkat, kerana sampai bila kita harus menunggu?,” soalnya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dr Pekan Ramli

Dr. Pekan yang juga memegang jawatan sebagi Ketua Seksyen Sukan Kementerian Pengajian Tinggi ini turut menyatakan aksi longlai Harimau Malaya yang beraksi di Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu bulan lalu sebagai pengajaran terbaik.

“Kesannya pemain negara bukan sahaja kekurangan minit perlawanan tetapi pemain dilihat bergelut dengan prestasi masing-masing akibat aksi pemanas badan yang terhad dan kem latihan yang singkat.

“MKN dan KKM sebaiknya menjadikan rancangan FAM ini sebagai ‘benchmark’ untuk mula mengadakan perlawanan di laman sendiri dan bersama-sama menjadi penasihat serta berbincang untuk  bagaimana menjayakannya.

“Kita ada SOP dan gelembung sukan yang boleh dikemas kini dan diperketat dengan nasihat MKN dan KKM demi kebaikan bersama membabitkan sukan terutama bola sepak. MKN bersama KBS boleh rujuk kepada sektor sukan di Eropah, mengambil contoh terdekat Euro 2020 baru-baru ini yang tidak punyai masalah untuk diadakan,” tegasnya.

Aksi Euro 2020 baru-baru ini tidak menghadapi sebarang masalah penganjuran.

Tambahnya, jika ada sentimen membandingkan Liga M sudah dicemari dengan  pemain dijangkiti Covid-19 dan cadangan FAM ini mampu memburukkan lagi keadaan maka itu perlu ditepis.

“Dalam hal ini, AFC juga telah bersetuju untuk bekerjasama dan membantu FAM dalam pengendalian operasi dua perlawanan antarabangsa secara gelembung bioperubatan nanti,  maka pastinya MKN serta KKM juga seharusnya yakin dengan usaha pelaksanaan ini.

“Jika dibandingkan isu dua ke tiga pemain dijangkiti Covid-19 di Liga M bukanlah sebesar mana jika dibandingkan dengan sektor lain yang lebih banyak menyumbang kepada peningkatan kes negara ini.

“Ia ibarat dua kes ‘versus’ 2000 kes dari sektor lain. Maka bagi saya ini bukan masalah besar kerana apapun kita bukan sahaja mempunyai SOP dan gelembung sukan yang ketat bagi membendung penularan malah pengurusan krisis yang baik sekiranya terdapat jangkitan,” tambahnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: