Antarabangsa

Qatar ke separuh akhir Gold Cup

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PASUKAN jemputan dan juga tuan rumah Piala Dunia 2022, Qatar mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan CONCACAF Gold Cup apabila berjaya menewaskan El Salvador 3-2 dalam pertembungan suku akhir yang menarik.

Qatar menerima jemputan CONCACAF kerana mereka tidak mempunyai pertandingan kompetitif di Asia kerana sudah pun layak ke Piala Dunia sebagai tuan rumah dan memberikan tentangan sengit kepada pasukan Amerika Utara.

Menjuarai Kumpulan D dihadapan Honduras, Panama dan Grenada, Qatar tidak menunggu lama untuk mendahului seawal minit kedua menerusi jaringan ayam tambatan, Almoez Ali.

Enam minit berselang, Abdulaziz Hatem menggandakan kelebihan Qatar dengan satu gol yang cantik sekaligus menjadikan kedudukan 2-0 hingga tamat babak pertama.

Babak kedua menyaksikan El Salvador mula menyerang tetapi melakukan kesilapan apabila menghadiahkan sepakan penalti kepada Qatar dan Almoez Ali sekali lagi tenang menyempurnakannya untuk gol ketiga Qatar.

Tersentak ketinggalan tiga gol, El Salvador tidak berputus asa dan menggadakan asakan dan akhirnya mereka berjaya menjaringkan gol pertama menerusi Joaquin Rivas pada minit ke-63.

Gol itu menyuntik semangat skuad El Salvador sebelum berjaya merapatkan jurang jaringan dengan gol kedua juga menerusi Rivas pada minit ke-66 sekaligus menekan Qatar untuk baki 20 minit terakhir.

Walaupun cuba untuk mencari gol penyamaan, El Salvador gagal dan Qatar berjaya layak ke separuh akhir dalam penampilan pertama mereka seterusnya bakal bertemu pemenang perlawanan antara Amerika Syarikat atau Jamaica pada 29 Julai nanti di Austin, Texas.

Dua lagi suku akhir menemukan Mexico dan Honduras manakala Costa Rica akan berhadapan Canada untuk merebut tempat ke separuh akhir.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: