Olimpik 2020

Kumpulan terakhir Kontinjen Malaysia berlepas ke Tokyo


Azizulhasni bersama empat lagi atlet Muhammad Shah Firdaus Sahrom, penerjun wanita Cheong Jun Hoong serta Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias masing-masing mewakili sukan olahraga berlepas hari ini.

JAGUH berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang mengetuai kumpulan terakhir kontinjen Malaysia terdiri daripada atlet sukan berbasikal trek, terjun dan olahraga yang berlepas ke temasya Sukan Olimpik Tokyo 2020 pagi ini.

Seramai 10 individu, termasuk lima atlet dijadual berlepas menaiki pesawat Malaysia Airlines MH070 pada jam 9.50 pagi dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Narita pada 6.05 petang waktu tempatan.

Selain Mohd Azizulhasni, empat lagi atlet adalah rakan sepasukannya Muhammad Shah Firdaus Sahrom, penerjun wanita Cheong Jun Hoong serta Lee Hup Wei dan Azreen Nabila Alias masing-masing mewakili sukan olahraga.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican turut berlepas ke Tokyo menaiki pesawat sama bagi memberikan sokongan kepada atlet negara yang berjuang di bumi Tokyo.

Skuad pelayaran negara menjadi kumpulan kontinjen Malaysia pertama berlepas ke Tokyo awal bulan ini sebelum kumpulan kedua terdiri daripada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun), memanah dan menembak yang berangkat pada 17 Julai lepas.

Malaysia pada Olimpik kali ini diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan sasaran ditetapkan untuk merangkul tiga pingat termasuk sebutir emas.

Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili 32 atlet, membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga merupakan pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading