Olimpik 2020

Mampukah Brazil pertahankan emas acara bola sepak di Tokyo?

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pasukan Brazil merangkul pingat emas Sukan Olimpik 2016.

ACARA bola sepak lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 bakal membuka tirai pada Khamis dengan 16 pasukan bertanding untuk merebut sebutir pingat emas yang dipertandingkan.

Empat pasukan dengan Jepun sebagai tuan rumah serta Korea Selatan, Arab Saudi dan Australia mewakili Asia manakala Brazil dan Argentina bakal membawa cabaran Amerika Selatan.

Eropah diwakili oleh empat pasukan iaitu Jerman, Sepanyol, Perancis dan Romania manakala tiga pasukan benua Afrika turut layak dengan Mesir, Afrika Selatan dan Ivory Coast.

Dua lagi pasukan mewakili benua Amerika Utara iaitu Mexico dan Honduras manakala New Zealand sebagai wakil tunggal benua Oceania dalam acara yang bakal berlangsung di enam stadium di ‘Greater Tokyo’.

Bola sepak Olimpik diwakili oleh pemain bawah 23 tahun dengan tiga pemain di atas umur 23 tahun dibenarkan untuk disenaraikan dalam setiap skuad yang bertanding.

Disebabkan penularan pandemik Covid-19 yang menyebabkan temasya ini ditangguhkan, FIFA membenarkan pemain bawah 24 tahun untuk kekal disenaraikan iaitu untuk pemain yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1997.

Pasukan Jerman merangkul pingat perak empat tahun lalu.

Acara ini bakal menyaksikan kesemua 16 pasukan dibahagikan ke empat kumpulan dengan Kumpulan A membariskan Jepun, Afrika Selatan, Mexico dan Perancis manakala Kumpulan B diwakili New Zealand, Korea Selatan, Honduras dan Romania.

Kumpulan C pula menyaksikan Mesir, Sepanyol, Australia dan Argentina dengan Kumpulan D bakal menemukan Brazil, Jerman, Ivory Coast dan Arab Saudi.

Antara pemain di atas umur 24 tahun yang dibawa ke Tokyo adalah Dani Alves (Brazil), Eric Bailly (Ivory Coast), Mohamed El Shenawy (Mesir), Guillermo Ochoa (Mexico) dan Hiroki Sakai (Jepun).

Kesemua 16 pasukan akan bermain aksi pertama peringkat kumpulan esok dengan Mesir dan Sepanyol bakal membuka tirai acara ini dan dua pasukan teratas setiap kumpulan bakal layak ke suku akhir.

Perlawanan akhir bakal berlangsung di Stadium Antarabangsa Yokohama pada
7 Ogos 2021, sehari sebelum upacara penutupan rasmi temasya ini dilakukan.

Edisi 2016 di Rio, pasukan tuan rumah Brazil berjaya meraih emas menerusi penentuan penalti ke atas Jerman.

Manakala pingat gangsa dimenangi pasukan Nigeria.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: