Olimpik 2020

PM taruh keyakinan kilaun pingat emas pertama di Tokyo


Muhyiddin (tengah) hadir pada majlis Lambaian Juara Demi Malaysia .

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menaruh harapan tinggi ke atas kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 untuk membawa pingat emas pertama dari temasya sukan yang berprestij itu.

Tegasnya, dia menaruh keyakinan bahawa kontinjen negara akan berjuang berhabis-habisan demi Malaysia tercinta untuk mengibarkan Jalur Gemilang di mata dunia, untuk mengangkat martabat negara di pentas antarabangsa, dan membuktikan anak Malaysia mampu menjadi atlet terbaik dalam sukan masing-masing.

“Yang paling utama memastikan lagu keramat Negaraku berkumandang di venue pertandingan nanti.

“Saya harap kali ini ialah kali yang pertama Malaysia akan membawa pingat emas yang pertama dan bagi mereka yang berjaya, insya-Allah ganjaran yang baik akan kita berikan kepada anda semua,” katanya ketika menyempurnakan Lambaian Juara Demi Malaysia di KLIA, Sepang.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri menyifatkan keseluruhan kontinjen kita pada temasya kali ini yang seramai 30 atlet, 21 jurulatih dan 13 pegawai ini sebenarnya bukan sekadar 30 orang atau jumlah 64 orang, ia sebenarnya mencerminkan kekuatan 32 juta orang rakyat Malaysia keseluruhan.

“Justeru kesempatan ini saya merakamkan setinggi-tinggi ucapan tahniah kepada anda semua yang menjadi ‘The Beacon of Hopes’,” katanya yang turut mengingatkan semua anggota barisan kontinjen negara untuk sentiasa memastikan aspek keselamatan dan soal kesihatan diutamakan.

Pada majlis ringkas berkenaan, Perdana Menteri memberikan kata-kata motivasi kepada skuad badminton, gimnastik, akuatik (renang, terjun) dan memanah di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sebelum mereka berlepas ke Tokyo untuk temasya sukan terbesar dunia bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

Malaysia pada Olimpik kali ini, akan diwakili oleh 30 atlet yang akan beraksi dalam 27 acara meliputi 10 jenis sukan, dengan matlamat utama kekal untuk merangkul pingat emas pertama Malaysia.

Kumpulan pertama atlet Malaysia, terdiri daripada empat pelayar – Khairulnizam Mohd Afendy bagi acara laser lelaki, Nur Shazrin Mohd Latif (laser wanita), Nuraisyah Jamil dan Juni Karimah Noor Jamali (kedua-duanya acara International 470 wanita) yang diiringi oleh tiga pegawai telah berlepas ke Tokyo pada 8 Julai lalu.

Penembak negara, Nur Suryani Mohamed Taib yang akan beraksi dalam acara 50m rifle tiga posisi wanita juga telah berlepas manakala baki atlet dijangka berlepas pada 25 Julai ini.

Sebahagian atlet yang menggalas cabaran memburu pingat emas pertama Olimpik.

Atlet lain yang layak ke Olimpik kali ini ialah Khairul Anuar Mohamad, Syaqiera Mashayikh (memanah), Lee Hup Wei, Azreen Nabila Alias (olahraga), Mohd Azizulhasni Awang, Muhammad Shah Firdaus Sahrom (berbasikal trek), Gavin Kyle Green, Kelly Tan (golf) dan Welson Sim dan Phee Jinq En (renang).

Selain itu, Pandelela Rinong, Cheong Jun Hoong, Leong Mun Yee, Nur Dhabitah Sabri, Ng Yan Yee (terjun), Farah Ann Abdul Hadi, Jeremiah Loo Phay Xing (gimnastik) pemain badmiton Lee Zii Jia, Soniia Cheah, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying.

Pada edisi Rio 2016, Malaysia yang diwakili oleh 32 atlet, membawa pulang empat pingat perak dan sebutir gangsa, yang juga merupakan pencapaian terbaik negara di Sukan Olimpik.

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: