Hoki

Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 dan TNB TNB MJHL akan diadakan mengikut SOP

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh

KONFEDERASI Hoki Malaysia (KHM) memutuskan tarikh penganjuran kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2021 pada 10 November hingga 20 November 2021 dan TNB Liga Hoki Remaja Malaysia (TNB MJHL) 2021, Lelaki dan Wanita adalah pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

Keputusan ini dipersetujui menerusi Jawatankuasa Pertandingan dan akan dilangsungkan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) selain mengambil kira setiap garis panduan yang diberikan untuk memastikan kejohanan dilangsungkan dengan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM, Dato’ Sri Dr. Anil Jeet Singh berkata, kejohanan ini akan diteruskan dengan perancangan serta menyusun jadual dengan sebaiknya selain mengambil kira ruang masa yang cukup untuk setiap pemain mendapatkan suntikan vaksin.

“Piala Tun Abdul Razak 2021 akan berlangsung pada 10 November hingga 20 November 2021, sementara TNB MJHL 2021 akan bermula pada 26 November 2021 hingga 2 Januari 2022.

“Pada 25 Julai 2021, kami akan mengadakan perbincangan yang lebih terperinci untuk menetapkan di mana venue bagi kedua-dua kejohanan, SOP yang perlu dipatuhi serta langkah yang terbaik untuk semua pihak, kerana penganjuran kejohanan TNB MJHL 2021 khususnya akan membabitkan remaja yang masih bersekolah.

“Jika sebelum ini penganjuran TNB MJHL membabitkan pemain di bawah 19 tahun, namun bagi tahun ini kami menaikkan had umur kepada 21 tahun ke bawah.

“Kami juga ada menerima cadangan untuk menaikkan sedikit lagi had umur penyertaan pemain bagi TNB MJHL 2021 namun ianya masih dalam perbincangan tetapi apa yang pasti kejohanan akan dianjurkan mengikut tarikh yang telah ditetapkan,” tegasnya.

Penganjuran TNB MJHL 2021 akan menyaksikan dua divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki sementara wanita kekal dengan satu divisyen.

Setakat ini, KHM telah menerima 10 penyertaan daripada divisyen satu dan 14 penyertaan pasukan divisyen dua bagi kategori lelaki, manakala bagi kategori wanita pula sebanyak 14 pasukan telah menghantar penyertaan.

Untuk rekod, ekoran penularan Wabak Pandemik Covid-19, Kejohanan TNB MJHL pada tahun lalu dibatalkan. Sementara Kejohanan Piala Tun Abdul Razak 2020 pula dilangsungkan dengan jayanya tanpa menyebabkan sebarang jangkitan Covid-19 dikalangan pemain dan pegawai ataupun menyebabkan wujudnya sebarang kluster melibatkan kejohanan tersebut.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: