
PEMAIN tengah, Khairu Azrin Khazali Penang FC berharap dapat pulih sebelum Liga Malaysia kembali bersambung.
Khairu kini dalam proses pemulihan daripada kecederaan MCL (Medial Collateral Ligament) yang menyaksikan dia terlepas tiga perlawanan terakhir bersama Penang FC sebelum ini.
Tenyata ketiadaannya itu sedikit sebanyak memberi kesan besar kepada pasukan apabila mengalami dua kekalahan berturut-turut sekali gus menjejaskan peluang merapatkan jurang dengan tiga pasukan teratas Liga Super.
Bertindak selaku pemain tengah yang memegang fungsi nombor 6 iaitu membantu bahagian pertahanan, kehadirannya sering kali menjadi kunci kepada kestabilan pasukan yang turut ampuh di jentera serangan.
“Saya mendapat kecederaan di bahagian lutut semasa pertemuan dengan Sri Pahang sebelum disahkan mengalami MCL dan mengikut kata doktor, saya kena berehat selama dua bulan.

“Mujur tidak perlu dibedah dan hanya perlu melakukan rawatan biasa kerana ada sedikit koyakan di dalam lutut, sekarang saya sudah pulih lebih kurang 90 ke 95 peratus namun saya tidak boleh lagi menyertai latihan seperti biasa kerana sudah lama tidak menyentuh bola.
“Memang saya akui tidak sabar untuk turun beraksi selepas hanya mampu melihat dari jauh menonton kawan-kawan beraksi dalam beberapa perlawanan, harap saya boleh membantu kembali pasukan.
“Saya berterima kasih kepada Penang memberikan kepercayaan untuk beraksi dalam hampir semua perlawanan dilalui, saya akui karier di sini antara detik terbaik sepanjang bergelar pemain profesional,” ujarnya.
Pemain berusia 30 tahun itu bukanlah satu nama yang asing dalam pentas Liga Malaysia kerana pernah menjadi tunjang kekuatan PKNS FC yang pernah bersama pasukan itu mencipta sejarah mara ke pentas akhir Piala FA 2016.
Selain pernah bersama PKNS sejak tahun 2011, pemain yang berasal dari Hulu Langat, Selangor itu juga pernah beraksi dengan Melaka United, Felda United dan Terengganu FC sebelum ke Penang sejak musim lalu.





Add Comment