EURO 2020

England makin selesa, Ukraine pantau ‘rapat’


England bakal turun menentang Ukraine dalam aksi perebutan ke separuh akhir.

PASUKAN kegemaran rakyat Malaysia, England kini berada pada tahap terbaik untuk menamatkan kemarau piala di kejohanan antarabangsa apabila bakal berhadapan Ukraine dalam pertembungan suku akhir Kejohanan UEFA Euro 2020 di Stadium Olimpico Rome.

Bermain buat pertama kali di luar London sepanjang kejohanan ini, England yang menyingkirkan seteru utama Jerman pada peringkat 16 pasukan terbaik dilihat yakin dan bersemangat untuk mara ke peringkat seterusnya.

Selepas berjaya mengharungi ujian terbesar mereka di kejohanan ini, penyokong England sudah memandang kehadapan untuk sekali lagi kembali ke Wembley untuk pertemuan separuh akhir menentang sama ada Denmark atau Republik Czech.

Dengan mengekalkan rekod tanpa bolos, skuad kendalian Gareth Southgate kini mengikut jejak Jerman pada tahun 2016 yang tidak dibolosi dalam empat perlawanan Euro tetapi England perlu berhati-hati kerana Ukraine bakal tampil dengan kejutan.

Southgate dijangka melakukan percaturan lebih baik menjelang pertemuan dengan Ukraine.

Kapten Liverpool, Jordan Henderson mungkin akan mengambil alih peranan di jentera tengah England kerana Kalvin Phillips dan Declan Rice sudah mempunyai satu kad kuning dan berisiko untuk digantung satu perlawanan selepas ini jika menerima satu lagi kad kuning.

England dilihat selesa bermain di Wembley dan perlawanan pagi Ahad nanti bakal berlangsung di Rome. Dapatkah England mengekalkan corak permainan pantas mereka atau akan merasa kehilangan kelebihan bermain di tempat sendiri.

Sementara itu, Ukraine muncul pasukan terakhir  ke peringkat 16 pasukan terbaik  selepas menjadi pasukan keempat untuk slot tempat ketiga terbaik yang layak.

Apa yang menarik, Ukraine harus berterima kasih kepada Sweden kerana kemenangan Sweden  keatas Poland membantu Ukraine layak tetapi akhirnya Sweden disingkirkan menerusi jaringan dramatik minit akhir masa tambahan.

Andriy Shevchenko

Skuad kendalian penyerang legenda, Andriy Shevchenko itu hanya berjaya mengutip tiga mata di peringkat kumpulan tetapi kini bersedia menghadapi England untuk penampilan pertama Ukraine di suku akhir Kejohanan Eropah di Stadium Olimpico, Rome.

Kemenangan bakal membawa mereka ke peringkat separuh akhir pertama dalam sejarah tetapi England bukanlah lawan yang mudah tetapi Shevchenko yakin dengan kemampuan yang ada pada skuadnya.

Ukraine bakal turun tanpa khidmat penyerang Artem Besedin yang menjadi mangsa kekasaran mengerikan oleh pemain Sweden yang menyaksikan dia bakal diketepikan hingga 2022 akibat kecederaan lutut.

Ukraine dijangka akan mengikat pergerakan pemain-pemain England.

Tidak banyak pertemuan antara kedua-dua negara dengan kali terakhir mereka bertemu dalam perlawanan pada 2013 yang berakhir seri tanpa jaringan. Mampukah Ukraine menyekat kemaraan England? Kota Rome bakal menjadi saksi.

Barisan kemungkinan

England: Pickford; Walker, Stones, Maguire; Trippier, Rice, Henderson, Shaw; Mount, Kane, Sterling

Ukraine: Bushchan; Zabarnyi, Kryvtsov, Matvienko; Karavaev, Sydorchuk, Shaparenko, Stepanenko, Zinchenko; Yarmolenko, Yaremchuk


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading