Bola Sepak

Kenapa pemain TFC ini pilih Shukor Adan sebagai idolanya

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Amad (kanan) sering menjadi pilihan Nafuzi Zain untuk memperkuatkan benteng pasukan. (Foto : FB TerengganuFC)

PERTAHANAN Terengganu FC yang sedang meningkat naik, Muhammad Mohd Faudzi sangat mengagumi pemain veteran Kuala Lumpur City FC (KL City), Shukor Adan.

Pernah bersama dalam satu pasukan Felda United musim 2015, Muhammad atau lebih dikenali Amad mengharapkan mampu mengikuti apa dilakukan Shukor yang masih mampu beraksi sehingga usia 41 tahun selain mengagumi personaliti dimiliki beliau yang dianggap jarang dimiliki mana-mana pemain lain.

“Saya sangat suka tengok cara Shukor Adan dan kalau boleh mahu mengikut jejak langkah dia sebagai seorang pemain pertahanan tengah yang hebat serta ada karakter tersendiri sebagai seorang ketua di atas padang.

“Masa di Sekolah Sukan Bukit Jalil lagi saya sudah meminati Shukor dan selepas saya mendapat peluang menyertai skuad Piala Presiden Felda pada 2015, saya berpeluang berlatih bersama Shukor dalam pasukan utama yang ketika itu dilatih jurulatih, Irfan Bakti.

“Masa itu saya baharu berumur 19 tahun dan apabila dapat berlatih dengan pemain-pemain hebat seperti Shukor, ia satu perasaan yang tidak digambarkan dan banyak yang saya belajar darinya memandangkan dia pun seorang pemain pertahanan tengah,” katanya.

Pernah berada dalam satu pasukan bersama Shukor pada 2015.

Muhamad menjadi antara watak penting di kubu Terengganu FC musim ini apabila jurulatih, Nafuzi Zain sering menggandingkannya bersama Carlos Alberto Martinez De Murga.

Dia mula diturunkan sejak perlawanan keenam Liga Super iaitu ketika berdepan PJ City FC dan tidak pernah terlepas peluang berada dalam kesebelasan utama sejak lapan perlawanan terakhir Terengganu FC.

Aksi paling cemerlangnya setakat ini ialah semasa membantu pasukan menewaskan pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT), 1-0 di Stadium Sultan Ibrahim pada 24 April lalu.

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: