Bola Sepak

Nafsu Mintah semakin membara

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Mintah antara peledak utama TFC II.

PENYERANG import Terengganu FC II yang kian menonjol di pentas Liga Premier, Jordan Mintah, semakin bernafsu besar bagi mengharungi baki saingan musim 2021 apabila meletakkan sasaran meledak 30 gol dan memenangi gelaran Anugerah Kasut Emas.

Malah, penyerang dari Ghana ini yang telah menjaringkan 15 gol secara keseluruhan dengan 11 daripadanya di pentas Liga Premier manakala 4 lagi gol di Liga Super, begitu optimis dia mampu mencari 15 lagi jaringan dari baki 10 perlawanan.

Baginya, tiada apa yang mustahil kerana pernah melakukannya semasa bermain di Liga Bola Sepak Filipina pada 2019 apabila menjaringkan 31 gol ketika mewakili kelab Kaya-Iloilo sekali gus memenangi anugerah penjaring terbanyak.

“Sebelum musim bermula, saya sudah meletakkan sasaran pada diri sendiri mahu mendapatkan 30 gol bagi meningkatkan peluang saya memenangi anugerah Kasut Emas.

“Sekarang saya sudah berjaya meraih 15 gol dan kini saya kena cari baki 15 lagi jaringan, saya akan berusaha sebaik mungkin dan berdoa kepada tuhan, saya berpeluang melakukannya.

“Ramai fikir seperti mustahil kerana baki perlawanan hanya tinggal 10 sahaja di Liga Premier tetapi apa-apa boleh terjadi, pengalaman semasa saya bermain di Filipina, memberikan kekuatan yang saya boleh lakukan sekali lagi di sini,” katanya.

Mintah telah meledak 15 gol setakat ini dan tidak mustahil bilangan berkenaan akan meningkat apabila bersambungnya semula saingan Liga Malaysia.

Kelibat Mintah sebelum ini meraih perhatian ramai peminat setia Terengganu FC apabila dia yang diturunkan dalam enam perlawanan di Liga Super menggantikan David da Silva yang mengalami kecederaan, berjaya meledak empat jaringan.

Aksi cemerlangnya itu membuatkan sebahagian besar peminat mengharapkan Mintah agar terus kekal bersama pasukan kerana dia dilihat begitu klinikal dalam aspek menyudahkan peluang.

Namun, dia kembali dipulangkan ke pangkuan Terengganu FC II dan meneruskan prestasi konsistennya apabila meledak 11 jaringan hanya dalam lima perlawanan Liga Premier.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: