Bola Sepak

Beri FAM ruang perkemaskan mekanisme pemain naturalisasi – Dr Pekan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PEMINAT bola sepak tempatan diminta memberi ruang kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) menentukan hala tuju prestasi skuad Harimau Malaya, termasuk meneruskan program naturalisasi bagi mencerahkan prospek Malaysia di pentas antarabangsa.

Penganalisis sukan, Dr Pekan Ramli, menganggap program naturalisasi FAM adalah praktikal berasaskan perkembangan dunia bola sepak terkini yang bersifat global.

Susulan sentimen segelintir pihak yang mempertikaikan program naturalisasi FAM, beliau menggesa peminat untuk memberi masa kepada badan induk itu memperkemaskan mekanisme pemilihan sambil tidak menjatuhkan hukuman tergesa-gesa berdasarkan satu kejohanan.

“Seperti yang kita maklum, FAM memiliki pilihan terhad untuk menaturalisasikan pemain disebabkan syarat-syarat kelayakan FIFA agak ketat, termasuk seseorang calon perlu bermastautin selama lima tahun berturut-turut di sesebuah negara.

Liridon antara pemain naturalisasi yang berada dalam skuad Harimau Malaya. Foto: FAM

“Saya percaya jika dilakukan dengan telus menerusi penilaian yang dibuat oleh sebuah jawatankuasa yang membabitkan pakar teknikal dan agensi kerajaan, projek ini boleh membawa hasil. Yang penting, keputusan memberi kewarganegaraan kepada pemain tidak boleh diputuskan secara individu dalam FAM,” ujarnya dalam satu sesi temubual menerusi panggilan video pada Sabtu.

Sambil menganggap program naturalisasi ini sebagai satu kaedah merapatkan jurang dengan kuasa-kuasa Asia, Dr Pekan menyarankan kriteria yang ketat dan jelas dinyatakan dengan terang oleh FAM.

“Selain membuat penilaian calon-calon pemain dari segi prestasi semasa dan usia yang sesuai, mereka hendaklah diwajibkan menyertai kursus kenegaraan dan jati diri sebagai satu cara untuk mereka menjiwai tugas dan tanggungjawab mereka.”

Pada Jumaat, Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu  beliau telah mengarahkan sekretariat FAM untuk membincangkan perkara ini yang akan dilaksanakan oleh Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM secara bersama dengan Jawatankuasa Teknikal & Pembangunan FAM serta Pengarah Teknikal FAM, Datuk Ong Kim Swee bagi mengkaji tentang keberkesanan program pemain naturalisasi ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: