Bola Sepak

Presiden FAM ambil maklum cadangan TMJ mahu urus skuad kebangsaan

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

PRESIDEN Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin memberitahu beliau mengambil maklum mengenai permintaan pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim untuk menguruskan skuad Harimau Malaya.

Isnin lalu, Tunku Ismail yang juga mantan presiden FAM memuat naik status di Instagram Story miliknya menyatakan minat untuk mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan.

Bagaimana pun, Hamidin yang baharu pulang dari Dubai selepas bersama pasukan negara mengharungi kempen Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 memberi kenyataan mengenai perkara tersebut.

“Pertama, saya menjunjung kasih kepada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor dan mengambil maklum tentang cadangan yang telah dikemukakan baginda selaku mantan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung skuad kebangsaan, Harimau Malaya, tempoh hari.

“Walau bagaimanapun, perkara tersebut perlu diperhalusi sebaiknya kerana FAM sebagai badan induk bola sepak negara mempunyai tatacara, prosedur, peraturan serta mesyuarat tertentu sebelum membuat sesuatu keputusan atau ketetapan,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Tunku Ismail berminat untuk uruskan pemain skuad negara. Foto: JDT

Perkara tersebut timbul selepas prestasi skuad kebangsaan kendalian Tan Cheng Hoe itu dikatakan tidak seperti yang diharapkan apabila tewas 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam.

Sebelum itu skuad negara juga turut tewas dalam aksi perlawanan latihan dan persahabatan bertemu Kuwait dan Bahrain.

“Kepada Presiden FAM (Datuk Hamidin Mohd Amin), izinkan saya mengendalikan pemain dalam pasukan kebangsaan. Saya akan memberi mereka kemudahan latihan dan jurulatih terbaik.

“Saya tidak dapat menjanjikan kejayaan segera tetapi saya dapat memberi jaminan pasukan ini akan meningkat,” tulis Tunku Ismail di laman Instagram Storynya sebelum ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: