Bola Sepak

JDT kini fokus saingan ACL di Bangkok

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Pemain-pemain JDT menjalani latihan menjelang aksi ACL di Bangkok bermula 26 Jun ini. Foto: JDT

 

Oleh: JJFIRDAUS

JUARA Liga Super Malaysia tujuh kali berturut-turut, Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mula menumpukan perhatian mereka untuk menghadapi kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL).

Perlawanan peringkat Kumpulan G tersebut akan berlangsung secara karnival di Bangkok, Thailand bermula 26 Jun hingga 7 Julai melibatkan enam perlawanan dengan kesemuanya berlangsung di Stadium Rajamangala.

Ini adalah kali ketiga JDT layak ke ACL dan dengan pengalaman dan kualiti skuad yang ada, JDT dilihat mampu memberikan cabaran sengit dalam kejohanan kelab terbaik Asia tahun ini.

JDT diundi bersama-sama kelab Republik Korea, Pohang Steelers, kelab Jepun, Nagoya Grampus dan wakil kelab Thailand, Ratchaburi Mitr Pohl yang pastinya bakal menguji kekuatan skuad kendalian Benjamin Mora.

Nagoya Grampus layak ke ACL atas tiket tempat ketiga Liga Jepun manakala Pohang Steelers dan Ratchaburi Mitr Pohl layak ke peringkat kumpulan secara automatik selepas wakil kelab China, Jiangsu FC dibatalkan penyertaan kerana dibubarkan ekoran masalah kewangan.

Liga Juara-Juara AFC bukanlah asing buat JDT malah mereka pernah memenangi perlawanan dalam dua musim berturut-turut apabila menewaskan gergasi Jepun, Kashima Antlers pada 2019 dan menewaskan gergasi Republik Korea, Suwon Bluewings pada musim 2020.

Layak ke ACL sentiasa menjadi keutamaan yang ditetapkan oleh pemilik JDT, Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim  kerana menurut beliau ‘kelab anda akan lebih kuat apabila didedahkan dengan perlawanan kompetitif bertemu kelab-kelab terbaik Asia’.

Pemain JDT di Johor Bahru terbang ke Bangkok pada 18 Jun dan bergabung dengan pemain-pemain yang menyertai skuad kebangsaan di dalam gelembung sukan mengikut SOP yang cukup ketat seperti yang ditetapkan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia.

Selepas menjuarai Piala AFC pada 2015, nama JDT sentiasa menjadi perhatian apabila mula bertanding di peringkat kumpulan ACL dan jelas JDT ingin membuktikan bahawa mereka bukanlah sekadar pelengkap kumpulan.

Selamat maju jaya buat JDT!


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: