Antarabangsa

Hamilton, Verstappen jadi tumpuan di Litar Paul Ricard


Image
Litar Paul Ricard akan menjadi medan saingan Grand Prix Perancis hujung minggu ini.

PASUKAN Formula 1 kini bergerak ke Litar Paul Ricard yang terletak di Le Castellet berhampiran Marseille untuk saingan Grand Prix Perancis hujung minggu ini.

Grand Prix Perancis kembali semula ke Paul Ricard selepas hampir sedekad Perancis tidak menganjurkan sebarang perlumbaan F1 tetapi konfigurasi litar ini kurang digemari penonton apabila menghasilkan perlumbaan yang bosan pada 2018 dan 2019.

Kembali semula tahun ini selepas acara dibatalkan tahun lalu ekoran pandemik COVID-19, litar ini bakal menjadi medan pertarungan terbaharu antara dua pemandu pilihan Lewis Hamilton dan Max Verstappen.

Litar Paul Ricard juga akan menjadi kayu pengukur penting buat pasukan yang merebut kejuaraan dengan kedua-dua Red Bull dan Mercedes cuba untuk mengenalpasti tahap kompetitif mereka antara satu sama lain.

Ini kerana perlumbaan kembali ke litar konvensional selepas Red Bull cemerlang dengan dua kemenangan di litar jalan raya masing-masing di Monaco dan Azerbaijan.

Walaupun Mercedes dijangka akan bangkit selepas gagal menamatkan perlumbaan di podium dalam dua perlumbaan berturut-turut, Red Bull kininboleh bergantung harap kepada Sergio Perez, yang akhirnya berjaya menemui ritma pemanduan dengan jentera RB16B selepas enam perlumbaan.

Mercedes pula perlu memastikan Valtteri Bottas meningkatkan mutu pemanduan beliau jika mahu merapatkan jurang 26 mata dari Red Bull dalam kedudukan pengeluar.

Pasukan Aston Martin pula pastinya mahu meneruskan momentum terbaik mereka dengan Sebastian Vettel sekali lagi bakal menjadi tumpuan selepas dua perlumbaan yang cemerlang.

Ferrari dan McLaren sudah pasti mahu tempat ketiga kategori pengeluar menjadi milik mereka dengan Alpha Tauri akan mula merasa tekanan dari Aston Martin dan Alpine yang tidak jauh ketinggalan.

Sesi latihan bebas akan dilakukan pada Jumaat dengan sesi kelayakan pada Sabtu jam 9 malam dan perlumbaan akan berlangsung pada Ahad jam 9 malam waktu Malaysia.

Adakah Mercedes kembali bangkit atau Red Bull kekal mendahului atau ada kejutan dari pasukan lain, sama-sama kita nantikan.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading