“MEMANG ada sentuhan Brendan Gan ke atas pemain Vietnam.”
Itu komen dari bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh.
Beliau diminta mengulas tindakan pengadil perlawanan, Ryuji Sato memberikan sepakan penalti kepada Vietnam ketika menentang Malaysia dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh berkata ia berdasarkan kepada pemerhatian ke atas beberapa klip video berkaitan insiden itu yang menyaksikan terdapat sentuhan Brendan Gan ke atas pemain Vietnam.
“Pengadil berada pada posisi yang baik, dia bergerak dengan jelas dan yakin untuk memberi penalti.
“Jadi boleh saya katakan penalti itu betul, tiada masalah. Kita boleh katakan ‘careless kicking‘. Walaupun ia kecuaian, dia tak kena kad dan keputusan atas padang kena terima pakai,” katanya.
Sementara itu, Subkhiddin menyifatkan Brendan sebagai seorang pemain bola sepak memiliki IQ yang cerdas dan tahu apa yang harus dilakukan atas padang.
“Dia seorang pemain profesional. Dia tidak memprotes keputusan pengadil kerana tahu kesalahan dilakukan dan penalti diberikan atas sentuhan Brendan,” ujarnya.
Peminat Harimau Malaya berang kerana insiden penalti pada minit ke-82 menjadi pencetus kepada kemenangan 2-1 untuk Vietnam.
Add Comment