
PENYERANG Wales, Kieffer Moore mengakui gol penyamaan yang dihasilkan melalui tandukan dalam keadaan kepala berbalut adalah detik peristiwa besar dan istimewa bagi dirinya.
Ujar Moore yang berusia 28 tahun itu, secara peribadi dia mahukan kemenangan setiap kali turun beraksi menentang lawan namun keputusan seri juga memberikan kesan positif buat pasukan.
“Mendapatkan satu gol buat pasukan dan corak permainan yang positif adalah baik buat pasukan dan ia sesuatu yang besar bagi kami,” jelasnya Moore kepada BBC Sports.

Sementara itu, penjaring gol Switzerland, Breel Embolo mengakui pasukannya kehilangan dua mata selepas gol kedua dijaringkan Mario Gavranovic dibatalkan VAR kerana offside.
“Kami lepaskan beberapa peluang untuk meraih kemenangan, setiap perlawanan adalah penting bagi kami dan tumpuan kita pastinya terarah kepada aksi menentang Itali,” jelasnya.
Pada aksi Kumpulan A yang berlangsung di Stadium Olimpik Baku malam tadi, Switzerland terlebih dahulu berada dihadapan pada minit ke -49 hasil jaringan Breel Embolo sebelum Moore menyamakan kedudukan hasil tandukan pada minit ke 74 untuk kedua-dua pasukan berkongsi satu mata.
Switzerland dan Wales kini berkongsi satu mata berada dikedudukan kedua dan ketiga manakala Itali gah memimpin Kumpulan A dengan tiga mata penuh selepas menewaskan Turki, 3-0 yang berada ditangga terbawah dalam kumpulan.
Selepas ini Wales bakal berdepan Turki di Stadium Olimpik Baku, awal pagi Jumaat 18 Jun manakala Itali menentang Switzerland juga pada hari yang sama di Stadium Olimpiko, Rome.
Add Comment