Antarabangsa Badminton

Terbuka Austria: Empat beregu lelaki layak ke pusingan kedua

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Gandingan Justin Hoh-Fazriq Razi turut mara ke pusingan kedua Terbuka Austria.

PASANGAN Wan Arif Junaidi-Haikal Nazri menerajui kemaraan empat beregu lelaki negara ke pusingan kedua kejohanan badminton Terbuka Austria, awal pagi ini waktu Malaysia.

Turut mengiringi mereka adalah tiga beregu wanita diketuai juara Kejohanan Antarabangsa Slovenia minggu lalu, Low Yeen Yuan-Valeree Siow.

Wan Arif-Nazri menempah tiket mereka selepas mengetepikan pasangan Indonesia, Ghana Muhammad Al Ilham-Dejan Ferdinansyah 21-16, 21-18, dan akan berdepan pilihan ketiga, Fabian Delrue-William Villeger dari Perancis hari ini.

Justin Hoh-Fazriq Razif pula menang ke atas wakil tuan rumah, Luca Froschauer-Michael Schausberger 21-14, 21-6. Di pusingan kedua, mereka akan berdepan Mads Pieler Kolding-Frederik Sogaard dari Denmark.

Dua lagi beregu negara yang meneruskan kemaraan adalah Beh Chun Meng-Goh Boon Zhe dan Yee Jun Chang-Chia Weijie.

Chun Meng-Boon Zhe mara selepas menjinakkan Simon Bailoni-Adi Pratama dari Austria 21-17, 21-18 manakala Jun Chang-Weijie menundukkan Ondrej Kral-Adam Mendrek dari Republik Czech 21-15, 21-13.

Yeen Yuan-Valeree yang sekali lagi disandarkan harapan selepas muncul juara di Slovenia, mara dengan kemenangan 21-12, 21-14 ke atas Reka Sarosi-Bianca Schiester dari Hungary.

Hari ini, mereka akan berdepan pilihan ketiga, Alzbeta Basova-Michaela Fuchsova dari Republik Czech, lawan sama yang ditundukkan mereka di suku akhir di Slovenia.

Gandingan kembar, Cheng Su Hui-Cheng Su Yin pula mara selepas menundukkan wakil Perancis, Flavie Vallet-Emilie Vercelot 13-21, 21-15, 21-12, untuk menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Aline Muller-Jenjira Stadelmann dari Switzerland.

Anna Cheong-Yap Cheng Wen mudah menempah tiket mereka selepas menang 21-10, 21-6 ke atas Catlyn Kruus-Ramona Uprus dari Estonia.

Namun mereka berdepan tugas berat apabila pilihan kedua,Serena Au Yeong-Katharina Hochmeir dari Austria menanti di pusingan kedua nanti.

Sementara itu, Malaysia tidak lagi mempunyai wakil dalam acara perseorangan wanita selepas Khor Jing Wen tewas kepada Jenjira Stadelmann dari Switzerland 21-10, 12-21, 17-21.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: