
STATUS sebagai naturalisasi bukan tiket untuk pemain mendapat laluan mudah dalam kesebelasan utama skuad Harimau Malaya.
Ia diakui oleh pemain naturalisasi kedua negara Liridon Krasniqi apabila melihat setiap individu dalam pasukan perlu mempamerkan aksi terbaik jika mahu disenaraikan dalam kesebelasan utama.
Liridon berkata, posisi bahagian tengah pasukan cukup sengit dengan beberapa pemain seperti Brendan Gan, Azam Azih, Syamer Kutty Abba dan Nazmi Faiz yang dilihat berada turut mengisi tempat berkenaan.
Bekas pemain Kedah itu berkata, status sebagai naturalisasi tidak memberi kelebihan sekali gus menuntutnya berusaha lebih keras bagi membuktikan kemampuan kepada barisan kejurulatihan.
“Saya sangat berbangga dapat bermain untuk Malaysia kerana semua pemain dilihat berada pada tahap yang baik sekali gus persaingan merebut posisi dalam kesebelasan utama juga tinggi.
“Paling penting setakat ini adalah latihan sangat kompetitif dan saya rasa tak ada gerenti untuk diri saya untuk berada dalam barisan utama. Saya tidak mahu fikir bahawa saya pasti berada dalam barisan utama atau ‘pemain itu’ dalam senarai utama kerana semua pemain boleh jadi pilihan utama.
“Saya sangat gembira kerana kami bukan sahaja ada 11 pemain utama tetapi 25 pemain yang boleh bermain bila-bila masa.
“Status sebagai pemain naturalisasi bukannya kelebihan pada saya namun pada masa sama saya gembira rakan sepasukan mempamerkan komitmen mereka dalam pasukan,” katanya, dalam sidang media selepas hari kedua sesi latihan di Dubai, Jumaat.
Liridon atau mesra disapa ‘Mat Don’ antara tiga pemain naturalisasi negara yang akan membantu skuad Harimau Malaya mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang Kuwait dan Bahrain sebelum beraksi di pusingan kedua Kelayakan Piala Asia 2022/Piala Dunia 2023.
Dua lagi pemain naturalisasi yang disenaraikan adalah pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) Mohamadou Sumareh dan Gulherme De Paula dengan masing-masing akan mengisi bahagian sayap dan serangan Harimau Malaya.
Skuad Harimau Malaya yang berlepas ke Dubai pada Khamis bagi mengharungi siri perlawanan persahabatan pertama menentang Kuwait.
Selepas itu mereka berlepas ke Manama untuk berdepan Bahrain pada 28 Mei juga untuk aksi persahabatan kedua yang merupakan perlawanan Tier 1, sebelum kembali ke Dubai bagi menghadapi saingan pembukaan Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.
Malaysia yang berada di kedudukan kedua Kumpulan G akan bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi berdepan Vietnam (11 Jun) sebelum menamatkan kempen kelayakan menentang Thailand pada 15 Jun.






Add Comment