Badminton Terkini

Kejohanan Antarabangsa Slovenia: Siti Nurshuhaini iringi tiga beregu campuran ke suku akhir


Wakil tunggal perseorangan wanita negara Siti Nurshuhaini mara ke suku akhir.

GANDINGAN Choong Hon Jian-Toh Ee Wei meneruskan aksi cemerlang apabila bersama dua lagi wakil negara mengesahkan tiket ke suku akhir beregu campuran di kejohanan badminton Antarabangsa Slovenia.

Dua lagi gandingan negara yang mengiringi Hon Jian-Ee Wei, juara Terbuka Poland Mac lepas, adalah Haikal Nazri-Low Yeen Yuan dan Goh Boon Zhe-Cheng Su Yin serta wakil tunggal perseorangan wanita, Siti Nurshuhaini Azman.

Namun Hon Jian-Ee Wei berdepan tentangan sengit sebelum bangkit untuk menang 19-21, 21-18, 21-11 ke atas pilihan keempat, Pawel Smilowski-Wiktoria Adamek dari Poland, dalam masa 49 minit.

Bakal menanti Hon Jian-Ee Wei, yang menduduki ranking ke-263 dunia, adalah pasangan Denmark, Oscar Sunekaer-Mette Werge yang menyingkirkan pilihan keenam, Iliyan Stoynov-Hristomira Popovska dari Bulgaria 23-21, 21-15.

Sebagai rekod ini adalah kejohanan kedua bagi pasangan itu selepas digandingkan pada pertengahan Feb lalu.

Haikal-Yeen Yuan bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengetepikan pilihan kelima, Matex Hubacek-Alzbeta Basova dari Republik Czech 17-21, 21-12, 21-10.

Di suku akhir, mereka akan berdepan Putra Erwiansyah-Sofy Al Mushira Asharunnisa dari Indonesia yang mara selepas menundukkan gandingan Denmark, Mads Muurholm-Clara Lober 21-16, 19-21, 21-14.

Bagi pertemuan sesama pasangan dari Malaysia, Boon Zhe-Su Yin mengesahkan tiket ke suku akhir sesudah menundukkan Tan Kok Xian-Wong Kha Yan 21-16, 21-19.

Mereka bakal berdepan Andreas Sondergaard-Marie Louise Steffensen dari Denmark yang mengejutkan wakil Austria yang juga pilihan kedua, Dominik Stipsits-Serena Au Yeong 21-15, 19-21, 21-19.

Namun, nasib berbeza dialami Beh Chun Meng-Cheng Su Hui yang akur di tangan gandingan campuran Denmark/Sweden yang juga pilihan kelapan, Kristoffer Knudsen-Malena Norrman 21-13, 15-21, 13-21.

Satu-satunya pemain perseorangan wanita negara yang mara ke undian sebenar daripada peringkat kelayakan, Siti Nurshuhaini mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain Itali, Katharina Fink 21-19, 21-11.

Dia yang menundukkan Zuzanna Jankowska dari Poland 21-6, 21-6 di pusingan pertama, kini akan berdepan pilihan kelapan, Vivien Sandorhazi dari Hungary di suku akhir.

Malaysia tidak mempunyai wakil di pusingan ketiga perseorangan lelaki selepas tiga pemain negara gagal melepasi halangan pusingan kedua mereka.

Laluan Justin Hoh, Yeoh Seng Zoe dan Eveshgaran Vasigaran Eveshgaran terkandas di lawan pencabar masing-masing dari Eropah.

Bagi acara beregu lelaki, Justin yang berganding dengan Fazriq Razif, gagal memenuhi harapan tinggi ke atas mereka apabila tewas 21-13, 19-21, 19-21 kepada pasangan Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer dalam perlawanan pusingan pertama mereka.

Terdahulu, dalam aksi awal pagi tadi waktu Malaysia, Wan Arif Wan Junaidi yang berganding dengan Haikal mengejutkan pilihan ketujuh, Andreas Sondergaard-Jesper Toft dari Denmark 21-16, 21-16 dalam aksi pusingan pertama mereka.

Pasangan negara yang baru dinaikkan ke kelompok senior awal tahun ini, akan berdepan beregu Croatia, Luka Ban-Filp Spoljarec bagi mencari tempat di suku akhir.

 

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d