Antarabangsa Badminton Terkini

Masters Sepanyol: Hanya June Wei, beregu wanita mara ke suku akhir

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

June Wei mara ke suku akhir.

PEMAIN perseorangan badminton negara, Cheam  June Wei bangkit daripada kekalahan set pertama untuk mengesahkan tiketnya di suku akhir kejohanan Masters Sepanyol pada Khamis.

June Wei, 24, tewas set pertama 14-21 sebelum memperkemaskan aksinya untuk menang dua set berikutnya 21-15, 21-16 ke atas wakil Sweden, Felix Burestedt.

Pada aksi suku akhir esok (Jumaat), juara Cabaran Antarabangsa Malaysia 2019 itu akan berdepan pilihan utama, Shesar Hiren Rhustavito dari Indonesia yang mengetepikan cabaran Max Weisskirchen dari Jerman 21-15, 21-17.

Namun, harapan menyaksikan seorang lagi wakil negara, Ng Tze Yong mara, musnah apabila tewas kepada pilihan kedua, Toma Junior Popov dari Perancis.

Tze Yong, juara Terbuka Poland Mac lalu, yang kini menghuni ranking ke-108 dunia, tewas 10-21, 12-21 dalam masa 46 minit kepada lawannya yang merupakan pemain ranking ke-43.

Namun beregu wanita negara, Yap Cheng Wen-Anna Cheong yang juga pilihan kelima, memberi sedikit kelegaan apabila mengesahkan tempat di suku akhir selepas mendapat bye di pusingan pertama semalam.

Mereka mara ke suku akhir selepas berhempas pulas mengetepikan cabaran wakil Jerman, Annabella Jaeger-Stine Kuspert 19-21, 21-6, 21-17 dalam masa 69 minit dalam aksi pusingan kedua hari ini.

Namun, mereka berdepan tugas berat apabila perlu berdepan pilihan utama, Amalie Magelund-Freja Ravin dari Denmark yang menundukkan pasangan Sepanyol, Clara Azurmendi-Beatriz Corrales 21-13, 19-21, 21-14.

Sementara itu, juara beregu campuran Terbuka Poland, Chong Hon Jian-Toh Ee Wei memulakan aksi di Kejohanan Antarabangsa Slovenia dengan langkah kanan selepas memastikan kemaraan ke pusingan kedua.

Pasangan muda ini mara selepas menundukkan gandingan campuran Austria dan Slovenia, Rudiger Gnedt-Urska Polc 21-15, 21-15.

Ujian besar menanti mereka apabila perlu berdepan pilihan keempat, Pawel Smilowski-Viktoria Ademek dari Poland di pusingan kedua esok untuk mencari tiket ke suku akhir.

Turut mengiringi mereka adalah empat lagi beregu campuran negara, Tan Kok Xian-Wong Kha Yan, Beh Chun Meng-Cheng Su Hui , Haikal Nazri-Low Yee Yuan dan Goh Boon Zhe-Cheng Su Yin.

Kok Xian-Kha Yan mara selepas menundukkan pilihan ketujuh, Maciej Matuss-Kornelia Marczak dari Poland 21-17, 21-13 manakala Chun Meng-Su Hui mengalahkan wakil tuan rumah, Jaka Ivancic-Lia Salehar 21-14, 21-16.

Haikal-Yee Yuan pula menyingkirkan cabaran Simon Bailoni-Lena Rumpold dari Austria 21-6, 21-15 manakala Boon Zhe-Su Yin mengetepikan cabaran wakil tuan rumah, Miha Ivancic-Nika Arih 19-21, 21-15, 21-16.

Bagi acara beregu lelaki, Chun Meng yang berganding dengan Boon Zhe mara ke pusingan kedua tanpa mengangkat raket selepas mendapat kemenangan percuma ke atas Igor Chimbur-Zvonimir Durkinjak dari Croatia.

Pemain muda negara, 17, Justin Hoh pula melangkah ke pusingan kedua acara perseorangan lelaki selepas menundukkan Luka Ban dari Croatia 21-8, 21-19 untuk menempah pertemuan dengan Victor Kauffmann dari Denmark.

Turut mengiringinya adalah Yeoh Seng Zoe yang juga pilihan kesembilan selepas menewaskan Samuel Cassar dari Malta 21-8, 21-8, bagi menempah pertemuan dengan Jan Louda dari Czech.

Seorang lagi pemain muda negara, Eveshgaran Vasigaran turut mengesahkan tempatnya apabila menundukkan pemain Malta, Abela Matthew 21-16, 21-18.

Pusingan kedua perseorangan lelaki akan diadakan awal pagi esok.

 

 

 

 

 

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: