
PASUKAN kebangsaan, Harimau Malaya bersama rakan penerbangan rasminya, Malaysia Airlines akan bersama-sama membawa misi serta bendera negara ke Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), pagi Khamis menerusi penerbangan sewa khas bagi menghadapi baki tiga perlawanan Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Jun ini.
Penerbangan sewa khas MH8436 berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 9.00 pagi dengan membawa pemain serta barisan kejurulatihan seramai 45 individu yang diketuai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin dan pesawat dijadualkan tiba di Dubai pada jam 12.20 tengah hari, waktu Dubai.
Sebagai tanda sokongan syarikat penerbangan ini kepada skuad kebangsaan, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Malaysia Airlines Berhad, Kapten Izham Ismail turut berada di KLIA untuk menghantar pemain selain untuk memastikan persiapan penerbangan berjalan lancar dengan mematuhi SOP keselamatan dan kesihatan demi kesejahteraan dan keselesaan pasukan.
Skuad kendalian Tan Cheng Hoe itu akan mengadakan dua perlawanan pemanas badan bertemu Kuwait di Dubai dan menentang Bahrain di Manama, Bahrain sebelum memulakan aksi tiga perlawanan terakhir Kumpulan G, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai iaitu bertemu UAE (3 Jun), Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun 2021).
Sementara itu Hamidin meluahkan rasa berbesar hati atas komitmen yang diberikan oleh Malaysia Airlines terhadap skuad Harimau Malaya dalam menghadapi misi cukup penting untuk layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022, sekali gus layak automatik ke pusingan akhir Piala Asia 2023.

“Komitmen serta sokongan Malaysia Airlines terhadap skuad kebangsaan sememangnya tidak dapat dipersoalkan lebih-lebih lagi kerjasama di antara kedua-dua pihak ini sudah terjalin sejak 2018.
“Menerusi kerjasama Malaysia Airlines ini, perjalanan skuad Tan Cheng Hoe ke Dubai, UAE akan menjadi lebih selesa, sekali gus ia akan dapat menyuntik semangat kepada barisan pemain skuad kebangsaan apabila turun beraksi nantI, lebih-lebih lagi dengan inisiatif Malaysia Airlines mengecat pesawat Airbus 330nya dengan liveri Harimau Malaya yang pasti akan membakar semangat pemain yang melihat serta yang menaiki pesawat ini.
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih, terutama sekali kepada Kapten Izham, di atas kerjasama beliau dan pasukannya dalam memastikan Harimau Malaya dapat memenuhi impian jutaan rakyat Malaysia, walaupun berdepan pelbagai cabaran dalam mendapatkan kelulusan penerbangan kerana penutupan sempadan antarabangsa yang berpanjangan akibat pandemik Covid-19.
“Besar harapan kami di FAM agar hubungan di antara FAM dan Malaysia Airlines dapat berkekalan dan diteruskan di masa hadapan,” jelasnya.
Turut meluahkan rasa terima kasih terhadap syarikat penerbangan nasional itu adalah Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam.
Menurutnya, dengan peningkatan kes Covid-19 di dalam negara telah sedikit sebanyak merencatkan persiapan sekretariat skuad kebangsaan menghadapi tiga perlawanan penting ini.
“Dengan bantuan dari pihak Malaysia Airlines yang telah banyak membantu dari segi persiapan perjalanan pasukan seperti jadual serta laluan penerbangan ke Dubai, sekretariat skuad kebangsaan dapat menarik nafas lega.
“Saya amat berterima kasih dan bersyukur di atas kesudian pihak Malaysia Airlines yang turut bekerja keras untuk memastikan misi Harimau Malaya dapat dipenuhi dalam keadaan yang selamat,” kata Stuart.
Dia juga menyifatkan kerjasama dari Malaysia Airlines dalam menyediakan penerbangan sewaan khas Malaysia Airlines ini membantu skuad kebangsaan melalui tempoh perjalanan panjang antarabangsa secara selamat menerusi pematuhan gelembung sukan.
“Dengan penerbangan khas ini, skuad Harimau Malaya tidak perlu bimbang terdedah kepada wabak Covid-19 semasa proses transisi kem latihan di Kuala Lumpur dan perjalanan ke Dubai dan Manama, sekali gus membantu pasukan menyesuaikan diri dengan gelembung sukan yang telah dilaksanakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC),” tambahnya.

Sementara itu, Kapten Izham berkata, “Kami berbangga kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada sejarah dalam menyokong skuad Harimau Malaya dalam membawa nama Malaysia ke pentas dunia, sejajar dengan komitmen ‘Fly Malaysia’. Misi ini telah memberi peluang kepada syarikat penerbangan nasional untuk terbang ke bandar di luar rangkaian biasa kami, seperti Dubai dan Manama.
“Sebagai rakan syarikat penerbangan rasmi untuk FAM, Malaysia Airlines komited untuk menawarkan standard keselamatan dan kebersihan tertinggi dalam setiap langkah di sepanjang penerbangan untuk memastikan skuad Harimau Malaya dapat terbang dengan yakin dan selesa untuk tampil di perlawanan, terutamanya semasa musim pandemik Covid-19,” kata kapten Izham.
Sebagai sebahagian lanjutan usahasama di antara Malaysia Airlines dan FAM dari 2021 hingga 2023, Malaysia Airlines akan melakukan empat penerbangan sewa khas dari Kuala Lumpur ke Dubai, Dubai ke Manama, Manama ke Dubai dan Dubai ke Kuala Lumpur bagi menerbangkan skuad Harimau Malaya untuk turun bertanding.
Tiga (3) penerbangan pertama akan dikendalikan oleh pesawat B737-800, dan skuad dijadualkan pulang dengan pesawat A330-300 yang berlatarbelakangkan liveri Harimau Malaya.






Add Comment