Bola Sepak Terkini

Kapten Aidil mahu rakan pasukan fokus berjuang habis-habisan


Oleh: SURYATI MOHD NOR

KAPTEN Harimau Malaya Aidil Zafuan Abd Razak mahu aura positif yang ditunjukan dalam skuad kebangsaan setakat ini kekal hingga ke Dubai.

Pasukan kebangsaan memulakan latihan bagi menghadapi baki saingan Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Jun ini.

Pemain pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini juga gembira dengan semangat yang dipamerkan oleh rakan-rakan sepasukan pada hari pertama latihan skuad negara di Stadium Bukit Jalil bermula semalam (Ahad).

“Walaupun semalam masih belum skuad penuh, tetapi semuanya kelihatan bermotivasi untuk kembali berlatih bersama.

“Syahmi akan tiba pada sesi latihan petang ini,” kongsinya pada sidang media harian hari ini.

Menurut pemain senior kebangsaan berusia 33 tahun ini, sebagai ketua pasukan dalam mengemudi tiga perlawanan sengit Jun ini bukanlah bebanan buatnya.

“Sebelum ini saya juga ketua pasukan dan pikul  tugas berat. Bagi saya, ia lebih kepada amanah untuk membawa rakan-rakan berjuang bersama.

“Malah saya menganggap tugas sebagai kapten ini sebagai cabaran untuk diri sendiri dan buktikan kita dalam skuad kebangsaan ini akan berjuang habis-habisan hingga ke akhir.

“Bagi saya peluang sekarang dengan mengutip 9 mata dan berada di kedudukan kedua (Kumpulan G) adalah cerah untuk mara ke peringkat seterusnya.

“Saya harap peluang ini tidak akan disia-siakan. Saya selalu ingatkan kepada rakan-rakan pasukan bahawa mungkin susah, mungkin boleh untuk dapatkan peluang seperti ini lagi selepas ini,” ujarnya.

Selepas empat hari, skuad kendalian Tan Cheng Hoe ini sedang menjalani latihan sebelum terbang ke Dubai pada 20 Mei ini dengan memulakan aksi pemanas badan dengan dua perlawanan persahabatan bertemu Kuwait (23 Mei) dan Bahrain pada 28 Mei ini.

Seterusnya menghadapi perlawanan penting bertemu UAE pada 3 Jun, diikuti aksi menentang Vietnam (11 Jun) dan Thailand (15 Jun).

 


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Discover more from

Subscribe now to keep reading and get access to the full archive.

Continue reading