Lain-Lain Semasa Terkini

Reezal Merican rayu jangan buat andaian tidak betul kematian atlet negara


Haziq dalam persiapan untuk layak ke Sukan Olimpik Tokyo meninggal dunia pagi Jumaat.

Oleh: SURYATI MOHD NOR dan SUBKHI SUDARJI

MENTERI Belia dan Sukan Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican merayu kepada semua rakyat Malaysia agar tidak membuat spekulasi tidak betul mengenai kematian atlet memanah negara, Haziq Kamaruddin.

Menurut Reezal, setakat ini kematian atlet memanah senior negara berusia 28 tahun itu masih dalam siasatan.

“Saya telah menghubungi Menteri Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Seri Adham Baba minta percepatkan proses post mortem agar urusan dapat dijalankan secepat mungkin.

“Saya rasa kita biarlah ada rahmat, sekurang-kurangnya kita hormati perasaan ahli-ahli keluarga dahulu. Arwah divaksinkan pada April bersama saya, sama dengan Tan Sri Mohamad Norza Zakaria (Presiden Majlis Olimpik Malaysia) dan rakan-rakan yang lain. Malah mendapat suntikan kedua pada 4 Mei lalu. Maknanya sepuluh hari lalu.

“Dan sejak divaksikan semua atlet di bawah pemantauan kita, jagaan rapi oleh semua kakitangan ISN malah mengambil RTK (Rapid Test Kit) pada 11hb dan dari ujian itu semua negatif. Saya tak mahu buat andaian apa-apa.

“Saya merayu di luar sana sekurang-kurangnya hormati keluarga arwah. Alhamdullilah keluarga arwah redha walaupun sedih tetapi menganggap ini satu fitrah daripada Allah S.W.T. Tetapi jangan besarkan benda-benda yang tidak betul. Kajian bedah siasat masih dilakukan. Dan sebarang dapatan (keputusan) kita akan maklumkan nanti.

“Tetapi apa yang boleh saya cakapkan setakat ini seramai 242 divaksinkan pada waktu yang sama,” ujarnya kepada media di perkarangan Hospital Kajang hari ini.

Sementara itu Reezal memberitahu laporan awal arwah tidak menghadapi sebarang penyakit cuma ada penyakit gout.

“Sehari sebelum raya dia masih lagi menjalani latihan bersama jurulatihnya. Cuma 13 haribulan dapat kebenaran pulang ke rumah. Pada 14 Mei dikatakan pergi ke toilet (tandas) dan 8 pagi menggigil tidak sedarkan diri.

“Terus bergegas ke hospital dan disahkan meninggal dunia pada pukul 9. 37 pagi,” jelasnya.

Tambah Reezal, arwah Haziq merupakan seorang atlet yang mempunyai jasa dan bakti yang cukup tinggi kepada negara.

“Dia menyertai program (memanah) di Johor pada 2008 dan diserap ke pasukan elit 2012 dengan menyumbang pingat emas pada Sukan SEA dan kejohanan-kejohanan dunia.

“Pemergian arwah ini adalah satu kehilangan kepada sukan negara. Dia dijadual kejohanan untuk dapatkan kelayakan (Sukan Olimpik) pada kejohanan di Korea. Sebelum ini dia menyertai Sukan Olimpik di Rio dan London,” tambahnya.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: