PRESIDEN Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) Datuk Seri Ahmad Ismail mengambil langkah ‘kunci mulut’ mengenai hukuman penggantungan selama 15 tahun ke atasnya.
Jelas Ahmad yang lebih dikenali Tok Mat, beliau tidak mahu membuat sebarang komen demi mahu menjaga kemuliaan Ramadan dan tidak mahu mencalarkan amal-amal di bulan yang mulia ini.
“Walau bagaimanapun, atas desakan ramai termasuk sahabat-sahabat, saya perlu juga buat Kenyataan Media sekali sahaja , maka saya sudah buat pada minggu yang lalu.
“Saya tidak rela untuk mencalar bulan yang penuh Barokah ini. Maka saya tidak akan buat sebarang kenyataan pada waktu ini. Saya bersedia membuat kenyataan media selepas saya menyambut Hari Raya Enam kelak, In-ShaaAllah,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ahmad turut memberitahu bahawa ketika ini tidak perlu gerun dengan keputusan yang dibuat Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf).
“Tunggulah keputusan mahkamah kerana itu lebih wajar dan lebih tepat lagi.
“Biarlah mereka mendendangkan lagu apa pun jua pada ketika ini, nasihat saya, kita tidak perlu menari mengikut rentak mereka.
“Kita ada cara kita – Undang-Undang Mahkamah,” tambahnya.
Pada Rabu, prosiding pendengaran diadakan dengan empat kes dibincang dan panel mengambil keputusan menjatuhkan hukuman ke atas beliau dengan larangan daripada terlibat sebarang aktiviti sepak takraw tempatan dan antarabangsa serta selama 15 tahun bermula 6 Mei 2021.
Malah beliau juga diarah membayar USD25,000 (RM102,938.35) sebagai kos perbicaraan dan sesi pendengaran kes ini dalam tempoh 14 hari,
Add Comment