
LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) akan meneliti punca kes positif Covid-19 melibatkan dua pemain Kelantan FC.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan memberitahu, kedua-dua pemain itu didapati positif selepas menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum perlawanan bertemu Selangor II di Stadium MBPJ Isnin lalu.
“Pemain lain tidak berdepan dengan masalah dan status mereka adalah negatif Covid-19, tetapi perlawanan Kelantan FC bertemu Perak II terpaksa dipinda.
“Ini kerana naratif kuarantin oleh Kementerian Kesihatan (KKM) selama 10 hari dan tempoh itu melepasi tarikh jadual perlawanan mereka Jumaat ini (esok),” jelasnya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, pihak sekretariat MFL akan meneliti punca positif Covid-19 itu untuk dibawa ke mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL untuk tindakan susulan.
Selain itu, Ab Ghani berkata, pihak mereka akan mengetatkan pematuhan SOP dengan mengaktifkan semula SOP Pengelolaan Perlawanan Tanpa Penyokong bagi kawasan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ia melibatkan dua aksi Liga Super antara UiTM FC dan Kuala Lumpur City FC (8 Mei) dan Selangor FC bertemu Terengganu pada 9 Mei di Stadium MBPJ.
Manakala aksi Liga Premier melibatkan skuad Projek MSN-FAM dengan Terengganu FC II di Stadium UiTM pada 7 Mei dan Selangor FC 2 menentang PDRM FC di Stadium Bolasepak Cheras (8 Mei).
Add Comment