
Oleh : Subkhi Sudarji / Foto : Selangor FC
SELANGOR FC terpaksa melupakan khidmat Shahrel Fikri untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga bulan selepas pemain berkenaan mengalami kecederaan retak tulang kaki kanan dan terpaksa diusung keluar pada aksi menentang Sri Pahang FC, malam tadi.
Shahrel yang merupakan penjaring terbanyak tempatan musim lalu masuk pada separuh masa kedua menggantikan Danial Asri bagi menambahkan jentera serangan selepas pasukan.
Namun bekas penyerang Perak FC dan merupakan penggempur utama Harimau Malaya ini bagaimanapun dikeluarkan pada minit ke-58 dan digantikan dengan Mukhairi Ajmal selepas bertembung dengan pertahanan tuan rumah, Muslim Ahmad ketika dia cuba melepasi kawalan bekas pertahanan skuad kebangsaan itu.
Pengurus pasukan Selangor FC, Mahfizul Rusydin Ab Rashid berkata kepada CAKAPSUKAN, Shahrel akan menjalani rawatan susulan ekoran kecederaan yang dialaminya malam tadi.
“Selangor FC bakal kehilangan Shahrel dalam tempoh masa yang agak panjang susulan kecederaan yang dialaminya malam tadi.
“Pemeriksaan mendapati dia mengalami retak tulang kaki kanan akibat pertembungan dengan pertahanan tuan rumah (Muslim),” jelasnya.
Mengulas aksi pasukannya, Mahfizul tetap bersyukur dengan satu mata yang di bawa pulang ke Shah Alam kerana menyedari Sri Pahang FC bukanlah lawan mudah.
“Pasukan telah cuba memberi tentangan kepada tuan rumah yang tampak berwajah baru dengan pertukaran pemain import dan corak permainan pantas.
“Keputusan malam tadi menunjukkan prestasi agak baik sepanjang empat perlawanan terakhir di mana kita meraih dua menang dan dua seri.
“Tumpuan seterusnya adalah perlawanan menentang TFC dilaman sendiri Ahad ini dimana pasukan perlu memikirkan strategi bagi menghadapi perlawanan tanpa tonggak pertahanan (Shahrul Nazeem) akibat kad merah dan kecederaan beberapa pemain,” jelasnya.
Add Comment