
Oleh : Subkhi Sudarji
KEBANGKITAN Melaka United FC bakal diuji Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, malam ini.
Selepas meraih kemenangan tipis 0-1 ke atas Perak FC sebelum ini, skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan ini bakal melayan kunjungan Lang Merah yang kini juga mencari kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan di kelompok tiga teratas.
Pertembungan yang menarik pastinya disajikan kedua-dua pasukan dengan tuan rumah mahukan kemenangan bagi menyelamatkan karier Zainal Abidin selepas diberikan KPI untuk mencapai kemenangan bagi melonjakkan kedudukan pasukan.
Kesungguhan MUFC nyata ketara apabila, Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United, Datuk Mohd Saiful Mat Sapri dilaporkan berkata beberapa pemain simpanan terpaksa diturunkan bagi mengganti pemain yang cedera dan digantung, membabitkan Sony Norde, Alex Goncalves, Mohd Akmal Mohd Zahir, Wan Amirul Afiq Abd Rahman dan Khairul Anwar Shahrudin.
“Kita masih belum tahu sama ada mereka dibenarkan untuk beraksi atau tidak dan itu sedikit sebanyak mengganggu perancangan pasukan kerana kita perlu menurunkan pemain yang lain.
“Tetapi, kita telah bersedia dengan segala kemungkinan,” ujarnya memetik laporan Bernama.





Add Comment