Semasa Sepak Takraw

Skuad sepak takraw boleh beraksi di Sukan SEA, Asia

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Datuk Mohd Nazifuddin Najib

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) memberi jaminan skuad sepak takraw negara boleh beraksi pada temasya seperti Sukan SEA 2021 dan Sukan Asia 2022, di sebalik kemelut antara Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Persekutuan Sepak Takraw Asia (ASTAF).

Setiausaha Agungnya, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata atlet boleh bertanding di bawah naungan MOM dalam situasi tertentu, sekiranya PSM dikenakan tindakan berat seperti penggantungan bagi tempoh panjang oleh ASTAF.

Bagaimanapun, beliau berharap PSM di bawah kepimpinan Datuk Seri Ahmad Ismail, dapat menyelesaikan konflik itu secara baik demi pembangunan sukan berkenaan.

“PSM sedang berdepan proses membabitkan tindakan tatatertib. Kami masih menunggu keputusan berkaitan tindakan yang akan diambil oleh ASTAF meskipun kami berharap mereka boleh menyelesaikannya secara baik. Kami perlu melihat keputusan akhir.

“Selain itu, urusan berjalan seperti biasa, kami masih meneruskan latihan dan chef de mission (Datuk Hamidin Mohd Amin) kini bekerjasama rapat dengan semua persatuan sukan kebangsaan. Bagaimanapun, kami akan memastikan bahawa pasukan sepak takraw tetap dihantar di bawah sepanduk MOM,” katanya.

Mohd Nazifuddin berkata sebelum ini, MOM pernah menghantar atlet petanque negara di bawah naungan MOM ke Sukan SEA Filipina 2019 selepas Persatuan Petanque Malaysia (PPM) digantung oleh Persekutuan Petanque Antarabangsa (FIPJP).

Semalam, ASTAF menerusi kenyataan memaklumkan Jawatankuasa Eksekutif ASTAF sebulat suara mengundi untuk meneruskan prosiding tatatertib terhadap PSM berikutan kenyataan Ahmad, yang lebih dikenali sebagai ‘Tok Mat,’ mengenai pemilihan ASTAF pada 1 Mac lalu.

PSM digantung sementara sehingga perbicaraan diadakan dan diberi tempoh 14 hari untuk menghantar jawapan bertulis serta berdepan hukuman seperti penggantungan, penyingkiran, denda, dilarang atau gabungan mana-mana hukuman tersebut.

Pesuruhjaya Sukan Ibrahim Mohd Yusof pula berkata pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan PSM bagi mendapatkan perspektif lebih jelas mengenai penggantungan sementara itu selain mengakui bahawa ia berisiko dan menjejaskan pembangunan sepak takraw negara.

Bagaimanapun, beliau mahu menunggu sehingga sesi perbicaraan selesai sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Cuma kita melihat apa tindakan yang boleh diambil dari segi perlembagaan masing-masing kerana saya tak pasti, ini masih lagi di peringkat dalaman komuniti sepak takraw. Bukan sahaja untuk PSM tetapi untuk semua persatuan sukan kita tekankan aspek integriti dan tadbir urus,” katanya. -Bernama-

 


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: