Semasa Sepak Takraw Terkini

Jangan berani sentuh PSM

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Datuk Seri Ahmad Ismail

“SAYA sudah jual rumah demi sepak takraw negara. Jangan berani kamu sentuh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM),” itulah amaran dilaungkan Presiden PSM,  Datuk Seri Ahmad Ismail susulan tindakan Persekutuan Sepaktakraw Asia (Astaf) yang PSM digantung sementara daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan berkuat kuasa serta merta  semalam.

Tegas Ahmad atau lebih mesra dengan panggilan Tok Mat berkata, dia akan melakukan apa saja demi maruah badan induk itu termasuk membawa kes membabitkan PSM dan Astaf ke mahkamah.

“Apa yang saya lakukan adalah untuk PSM. Saya nak nasihatkan kepada semua warga sepak takraw negara, jangan terpengaruh dengan dia (Datuk Halim Kader),” katanya pada sidang media pejabat PSM di sini hari ini.

Terdahulu, Astaf mengeluarkan surat yang memaklumkan bahawa PSM digantung sementara daripada sebarang aktiviti berkaitan sukan berkenaan berkuat kuasa serta merta yang memungkinkan pemain negara tidak dapat beraksi di Sukan SEA Vietnam November ini.

Hal itu kerana PSM dikatakan melanggar perjanjian untuk mematuhi segala objektif dan pelembagaan Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (Istaf) dan Astaf seperti yang dimeterai pada 14 Mac 2008.

Dalam perkembangan sama, Tok Mat menegaskan bahawa tiada apa yang perlu dibimbangkan kerana barisan pemain sepak takraw akan tetap ke temasya Sukan SEA Vietnam hujung tahun ini.

“Tiada satupun dalam pelembagaan yang menyatakan Astaf mempunyai kuasa serta merta untuk menggantung sesebuah persatuan.

“Saya tidak akan layan. Apa hak dia (Datuk Halim Kader). Saya dan baca artikel dan peguam saya juga dah baca artikel.

“Pelembagaan dalam mana-mana persatuan hanya boleh dipinda dalam kongres. Jadi sekarang kita tunggu saja keputusan di mahkamah.

“Tak usah pedulilah semua. Semuanya sudah diserahkan kepada peguam. Biar peguam uruskan semua,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: