Bola Sepak Terkini

KLUFC tanpa Da Silva berdepan JDT


 

Da Silva (kanan) terlepas beberapa perlawanan ekoran kecederaan yang dialaminya. (Foto : FB KLUFC)

KUALA Lumpur City FC (KLUFC) bakal berdepan cabaran terbesar mereka pada Jumaat ini apabila menerima kunjungan pendahulu, Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras bagi melengkapkan cabaran mereka di pusingan pertama Liga Super.

Kehilangan ayam tambatan mereka di bahagian serangan, Dominique Da Silva yang akan disisihkan bagi tempoh dua minggu ekoran kecederaan di bahagian ligamen kaki turut menambahkan tekanan buat tuan rumah.

Situasi itu bermakna Dominique dijangka tidak akan bermain dalam baki tiga perlawanan Liga Super sebelum semua pasukan berehat selama dua bulan bagi memberikan laluan kepada skuad kebangsaan yang akan mengharungi pusingan kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023.

Pengendali KLUFC, Bojan Hodak berkata,  Dominique sememangnya pemain yang cukup penting kepada pasukan, tanpanya kami tidak banyak pilihan selain Romel Morales, namun dia lebih sesuai bertindak selaku pembantu di bahagian serangan.

“ Selain itu, saya mungkin menimbangkan Safee Sali dan mana-mana pemain di bahagian tengah yang boleh bertindak selaku penyerang seperti Paulo Josue.

“ Berdepan JDT, saya faham mereka pasti datang dengan situasi yang lebih bersemangat selepas kalah tempoh hari tetapi perkara ini amat baik kepada kami.

“ Tekanan mungkin akan dirasai oleh mereka dan situasi adalah normal dalam bola sepak, jadi kami cuba yang terbaik berikan saingan kepada JDT, ” katanya.

Skuad warga kota kini menduduki tangga kelapan Liga Super selepas meraih tiga kemenangan daripada sepuluh perlawanan selain tiga keputusan seri.


Tags

Add Comment

Click here to post a comment