Bola Sepak Semasa Terkini

JDT perlu waspada, TFC terus merendah diri

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

 

Mora mahu pemainnya sentias fokus pada pertembungan malam ini.

BENJAMIN Mora akui Terengganu FC adalah pasukan yang perlu diberikan perhatian manakala Nafuzi Zain terus merendah diri, itulah persepsi pengendali dua pasukan yang kini menghuni kelompok tiga teratas Liga Super 2021.

Sebagai rekod, musim lalu pertemuan tunggal kedua-dua pasukan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin memperlihatkan JDT menang tipis 1-0 menerusi gol awal yang dijaringkan Safawi Rasid pada minit-5.

Ini juga kali pertama Terengganu bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim kerana pertemuan terakhir di Johor adalah di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, Larkin pada 2019 dengan kedua-dua pasukan terikat 3-3.

Selepas sembilan perlawanan JDT mengumpul 23 mata mengatasi kelebihan lima mata ke atas Terengganu FC (18 mata) dan tiga mata dalam perlawanan ini buat mana-mana pasukan pasti akan memberikan kesan kepada persaingan kejuaraan Liga Super.

Ketua jurulatih JDT, Benjamin Mora, berkata lawannya, Terengganu FC adalah pasukan yang perlu diberi perhatian selepas prestasi cemerlang dipamerkan pemain-pemain muda di bawah kendalian Nafuzi.

Baginya, mana-mana pasukan yang sering kali berdepan JDT, pasti mereka akan tampil dengan motivasi berbeza dan mereka perlu berwaspada sambil tidak boleh memandang rendah akan kemampuan lawan.

“ Setiap pasukan yang berdepan JDT, keyakinan pasukan itu akan meningkat tanpa mengambil kira di mana kedudukan mereka di dalam liga buat masa sekarang ini.

“Jurulatih Nafuzi telah melakukan satu tugasan yang baik dengan pemain-pemain muda namun kami positif boleh meneruskan apa yang kami telah lakukan di Stadium Sultan Ibrahim , ” katanya.

Pemain TFC gigih menjalani latihan menjelang aksi menentang JDT.

Bagi Nafuzi pula dia lebih selesa dengan pendekatan merendah diri sambil menegaskan JDT berada dalam kelas tersendiri jika hendak dibandingkan dengan pasukannya.

Tambahnya, beliau cuma mengharapkan keyakinan daripada pemain-pemainnya untuk berikan saingan dan tidak terlalu menghormati lawan semasa bersaing di atas padang.

“ Kalau hendak dibandingkan dengan TFC dengan JDT, rasanya tidak boleh hendak dibandingkan kerana mereka sudah mempunyai pemain yang sama dalam tempoh dua ke tiga tahun ini.

“ Jadi sudah tentu daripada aspek persefahaman dan pemain, mereka ada kualiti tetapi jika pemain saya ada sentiasa yakin semasa memegang bola ketika permainan, saya rasa tidak ada masalah untuk kita bersaing.

“ Cuma pesanan saya kepada pemain, mereka kena berikan fokus sejak minit pertama permainan lagi kerana lawan sering kali mampu meraih gol di minit-minit awal, jadi mereka perlu sentiasa berdisiplin mengikut arahan yang diberikan.

“ Bagi perlawanan malam ini, saya sudah boleh gunakan khidmat Faisal Halim yang pulih daripada kecederaan selain Faiz Nasir juga bersama dengan pasukan kali ini, ” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: