Bola Sepak Semasa Terkini

Fadzrul Danel perlu bela diri


Fadzrul Danel (tengah) perlu membela diri dan membalas notis untuk dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.

Oleh : Subkhi Sudarji

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan sudah mengemukakan notis pertuduhan terhadap tonggak tengah Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Fadzrul Danel Mohd Nizam susulan tindakannya menolak pengadil  perlawanan,  Noor Azriel Baharudin ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC di Stadium Darul Aman, pada 9 April lalu.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingan berkata, pemain tinggi lampai itu perlu membela diri dan membalas notis untuk dipanggil oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk itu.

“Untuk kes baru-baru ini, saya tak nak buat komen sebab saya perlukan perbincangan dalaman dengan unit berkaitan Unit Pengadil dan Unit Undang-Undang kita.

“Tapi untuk pemain Kedah yang diberi kad merah, perkara ini sudah dikeluarkan notis kepada pasukan Kedah untuk memberi afidavit atau balasan kepada notis itu,” katanya.

Mengulas mengenai satu lagi insiden sama membabitkan pemain Johor Darul Ta’zim (JDT), Gonzalo Cabrera, beliau mengakui masih menunggu maklumat berkaitan kejadian itu dari pegawai terbabit.

Terdahulu, Cabrera dikatakan menyentuh pengadil sebanyak dua kali dalam perlawanan menentang Sri Pahang FC di Kuantan pada Jumaat lalu, namun hanya dilayangkan kad kuning.

Sebelum ini, pemain tengah JDT, Natxo Insa turut melakukan perkara sama kepada Noor Azriel ketika aksi Liga Super menentang Perak FC di Stadium Perak, Ipoh pada 21 Mac lalu.

Selain itu, pemain Kelantan FC, Jack Hindle turut menolak pengadil Amirul Aizat Mohd Lodin selepas pengadil itu dilihat menghadangnya daripada melakukan percubaan dalam kotak penalti dalam perlawanan Liga Perdana antara Kelantan FC dan Perak FC II pada 6 Mac lalu.

FAM sudah memberikan amaran keras kepada Hindle dan hukuman lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan sama, manakala Natxo berdepan hukuman penggantungan dua perlawanan dan denda sebanyak RM10,000.


Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: