Bola Sepak Semasa Terkini

Pemain simpanan bukan sekadar pelengkap

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Syahmi diraikan rakan sepasukan selepas menjaringkan gol kemenangan pasukan mengatasi MUFC, Ahad lalu. (Foto : FB Selangor FC)

PEMAIN sayap Selangor FC, Syahmi Safari menganggap pemain simpanan perlu sedar kepentingan mereka dalam memberikan impak kepada pasukan, bukan hanya sekadar menjadi pelengkap.

Bagi Syahmi, tidak kira hadir sebagai pemain dalam kesebelasan utama atau simpanan, setiap pemain mempunyai peranan yang cukup penting di atas padang untuk membantu pasukan terutamanya ketika waktu kritikal.

Malah, apabila dia sendiri diberikan peluang untuk beraksi pada saat rakan sepasukan sedang bergelut untuk memburu kemenangan, Syahmi memastikan setiap minit itu cukup berharga untuk merebut segala peluang sehingga akhirnya berjaya bantu pasukan raih tiga mata ketika menentang Melaka United FC, Ahad lalu.

“Alhamdulillah rezeki untuk saya pada bulan ini dapat menjaringkan gol selepas kali terakhir melakukan jaringan pada tahun 2019 dan memang sebenarnya dekat sini baik pemain utama atau simpanan, kita semua penting.

“Terutamanya pemain simpanan, apabila kita dimasukkan, kita kena pastikan dapat beri sesuatu di atas padang, dan penting untuk kita bagi balik kekuatan kepada pasukan apabila ketinggalan untuk mengejar jaringan.

“Semestinya jika diberi peluang, saya memang akan bagi yang terbaik dan saya sedar sebelum ini prestasi saya tidak begitu baik, jadi saya perlu memperbaiki diri sedikit demi sedikit untuk buat lebih baik daripada ini dalam aksi akan datang”, katanya.

Bercakap mengenai pengendalinya, Karsten Neitzel, pemain berusia 23 tahun ini menyifatkan sikap beliau yang begitu mementingkan tahap intensiti latihan yang tinggi membuatkan barisan pemain begitu berusaha keras untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Bagi saya, beliau sangat profesional dalam latihan di mana tahap intensiti dalam latihan memang tinggi dan pemain-pemain akan bagi 100% untuk bersaing mendapat tempat dalam kesebelasan utama.

“Secara tidak langsung, pasukan itu sendiri akan terus memperbaiki prestasi untuk berada di tahap yang lebih baik dan saya sendiri mengaku banyak lagi yang kena belajar terutamanya daripada segi bertahan”, tambahnya.

Ini merupakan gol pertama Syahmi pada musim ini selepas kali terakhir menjaringkan gol untuk Selangor pada tahun 2019 ketika berdepan pasukan Melaka.

Selangor ketika ini menduduki tangga kelima Liga Super 2021 dan seterusnya akan bersedia untuk berdepan Sabah FC pada Jumaat ini.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: