
PRESIDEN Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) Datuk S.M. Muthu mengesahkan jaguh 100 meter negara Mohd Haiqal Hanafi dan Khairul Hafiz Jantan akhirnya secara rasmi kembali kepada ‘sifu’ mereka Mohd Poad Md Kassim hujung bulan ini.
Sebelum ini hampir lapan bulan mereka berdua berada dibawah bimbingan bekas pelari pecut dari Amerika Syarikat, Dwayne Miller.
SM Muthu berkata, KOM tidak berhadapan masalah untuk melepaskan kedua-dua pemain terbabit demi meningkatkan kemampuan masing-masing pada masa akan datang.
“Antara alasan yang diberikan adalah mereka mahu kembali mendapatkan sentuhan dengan bimbingan jurulatih lama pelari itu.
“Dengan itu, mengambil kira untuk kebaikan atlet, KOM dan wakil MSN (Majlis Sukan Negara) memberi kebenaran untuk mereka pulang ke Johor berlatih di bawah Poad.
“Bagaimanapun, kedua-dua atlet ini perlu pulang ke MSN untuk latihan bagi acara 4×100 meter pada masa yang ditetapkan. KOM dan MSN akan terus membantu kedua-dua atlet ini untuk mencapai prestasi terbaik mereka,” katanya
Untuk rekod, Khairul Hafiz adalah pemenang pingat emas 100m Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 manakala Haiqal memenanginya pada edisi 2019 di Filipina.
Mereka dijadualkan kembali di bawah sentuhan Poad selewat-lewatnya pada minggu kedua Ramadan dalam usaha untuk mengejar catatan kelayakan ke temasya Sukan SEA Vietnam November ini.
Add Comment