Bola Sepak Komentar Semasa Terkini

JALIL OPTIMIS LIGA MALAYSIA MAMPU DOMINAN PETA ASIA PADA MASA AKAN DATANG

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Eksklusif oleh MOHD FARIQ

SIRI KETIGA

KETUA pegawai Eksekutif (CEO) Berjaya Corp, Jalil Rasheed optimis bahawa Liga Malaysia juga memiliki potensi besar sebagaimana beliau telah banyak melakukan kajian tetapi pelaksanaan itu harusnya bertepatan selaras budaya dalam negara ini.

Salah satu elemen yang paling penting yang dimaksudkan Jalil sebelum ini adalah kepentingan data serta informasi dalam pelan sesuatu kelab bola sepak.

Terdahulu, Jalil telah mengulas bahawa beliau yakin bahawa data merupakan elemen paling penting dalam pembangunan kelab selepas melakukan beberapa kajian dalam sukan bola sepak.

“Saya menyedari tidak banyak kelab melihat faktor ini tetapi ia sebenarnya faktor cukup penting bagi memastikan perjalanan sesebuah kelab itu menuju tepat ke destinasinya,” ujarnya.

Secara asas, Jalil cukup yakin bahawa Liga Malaysia juga memiliki keupayaan untuk terus berkembang menjadi salah satu liga yang memiliki kekuatan untuk dipasarkan ke peringkat lebih global.

Untuk menidakkan kemampuan kelab tempatan bagi mengembangkan potensi dalam peta Asia adalah satu perbuatan tidak wajar.

Ini kerana Jalil menegaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) membuktikan kejayaan kelab dari Malaysia yang mampu setanding dengan pakej jenama daripada kelab luar negara termasuk dari Eropah.

“JDT adalah pakej paling sempurna dan ia dijalankan dengan penuh profesional.

“Tunku Mahkota Johor merangkap pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim jelas berjaya melonjak standard bola sepak Malaysia ke tahap lebih tinggi.

“Mereka telah melakukan perkara yang tepat dan kamu sendiri telah melihat hasilnya. Inilah yang kita perlukan di mana seorang peminat bola sepak semula jadi menguruskan sesebuah kelab.

“Apa yang pasti, mereka telah jauh berada dalam kelas tersendiri dan meletakkan satu contoh yang baik kepada kelab-kelab Liga Malaysia yang lain,” katanya.

PELAKSANAAN FC BAKAL MENDIDIK INDUSTRI BOLA SEPAK MALAYSIA

Justeru, Jalil turut memuji tindakan Malaysian Football League (MFL) yang menguatkuasakan pelaksanaan FA kepada FC dalam saingan Liga Malaysia pada musim ini.

Jalil berharap peraturan itu bukan sahaja membantu membina satu mentaliti baharu sebaliknya percaya peraturan tersebut akan membuka minda kepada kelab-kelab dalam menguruskan perjalanan mereka daripada sudut komersial, perniagaan, pembangunan dan sebagainya.

“Seperti saya katakan tadi, JDT telah melakukan tugas cemerlang dalam penswastaan kelab.

“Tahun ini kita dapat menyaksikan kesemua pasukan harus berstatus kelab bola sepak (FC) di mana ini adalah satu langkah yang cukup bagus kepada industri bola sepak tanah air kita.

“Kita harus memberikan peluang kepada industri bola sepak kita dalam usaha mendidik mereka di mana bola sepak bukan sekadar sukan semata sebaliknya ia memiliki potensi besar untuk dijalankan sebagai entiti perniagaan,” katanya.

Menurut Jalil, beliau menegaskan terdapat lima elemen penting dalam perjalanan sesebuah kelab bermula kos operasi, pemacu hasil pendapatan, penajaan, kerjasama dan ‘people’ yang ditakrifkan orang yang memiliki jiwa, tanggungjawab serta keghairahan dalam sukan bola sepak.

“Secara peribadi, kos operasi yang rendah akan memotong belanja perkara yang tidak diperlukan selain mengendalikan stadium bersaiz lebih kecil yang mampu penuh setiap minggu dan pelaburan dalam pembangunan pemain adalah salah satu contoh pemacu hasil pendapatan.

“Hasil pendapatan terbesar kelab kecil adalah dari penjualan pemain-pemain mereka tetapi saya melihat perkara ini tidak berlaku di Malaysia.

“Cenderahati juga mungkin boleh menjadi salah satu punca pendapatan, tetapi tidak banyak kecuali untuk kelab yang besar tetapi kelab harus mencari sokongan penajaan daripada badan korporat yang mampu menguatkan perjalanan kewangan kelab.

“Kuncinya disini adalah untuk mengetahui berapa kos operasi tahunan kelab dan kelab harus mencari penaja untuk nilai ini di mana dengan jumlah nilai itu akan membolehkan kelab membayar gaji serta lain-lain.

“Paling mustahak, kelab bola sepak perlu dikendalikan secara profesional oleh orang yang faham dan tahu mengenai nilai komersial serta perniagaan,” katanya.

SUKAN BOLA SEPAK TEMPAT PENYATUAN RAKYAT

Tambah Jalil, sukan adalah platform menyatukan masyarakat dan bola sepak antara salah satu mekanisme terbaik membina keharmonian bersama.

Tanpa berselindung, Jalil berikrar beliau akan berusaha keras untuk membantu mengembangkan bola sepak negara jika diberikan peluang.

“Saya sering mendapat permintaan untuk menulis mengenai spesifik topik dan saya berterima kasih di atas idea tersebut.

“Ada beberapa orang bertanyakan kepada saya apakah saya mahukan ketika usia meningkat dewasa?

“Apa sahaja yang melibatkan dua elemen ini iaitu pertama, bola sepak dan kedua, kereta.

“Biarpun saya langsung tidak berada dalam industri kedua-dua ini elemen ini tetapi saya masih kekal obses bola sepak dan kereta sehingga sekarang.

“Sukan menyatukan semua dan sudah tentu bola sepak telah membuktikan kita sebagai rakyat Malaysia kembali bersatu.

“Impian saya adalah saya mahu terlibat dalam mana-mana peranan untuk membantu bola sepak Malaysia daripada pelbagai aspek dan sudah pasti ia menjadi satu keutamaan buat saya untuk membangunkan bola negara,” katanya.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

Terima kasih atas sokongan anda...

Thank you for all the support...

Ikuti kami...

%d bloggers like this: