Bola Sepak Terkini

Harimau Malaya tampil lebih yakin


Oleh : Subkhi Sudarji

“SAYA tak ada rasa sakit apabila disuntik, berbeza dengan suntikan lain iaitu Bacillus Calmette-Guerin (BCG) ada juga rasa sakit,” itulah reaksi Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Hamidin Mohd Amin yang mengetuai skuad Harimau Malaya menerima suntikan vaksin Covid -19 di Dewan Seri Seroja Persiaran Diplomatik, Putrajaya hari ini.

Jelasnya, syukur Alhamdulillah, saya kira semuanya baik tiada masalah dan semua tahu pengambilan vaksin ini untuk mencegah daripada penularan Covid-19.

“Setakat ini tiada masalah, tiadalah rasa gementar dan berdoa tiada apa masalah berlaku selepas ini,” katanya.

Hamidin berkata, pengambilan vaksin itu adalah membabitkan 38 pemain Harimau Malaya dengan selebihnya pula terdiri daripada barisan kejurulatihan serta kakitangan badan induk bola sepak itu.

“Terima kasih kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin dan mungkin kami akan mengambil dos kedua pada 10 Mei ini sebelum berlepas ke (Dubai) pada 20 Mei.

“Begitu juga kepada Kementerian Belia dan Sukan menerusi Menterinya, Datuk Reezal Merican Naina Merican dan  Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kerana membantu Harimau Malaya untuk menerima vaksin awal sebelum ke sana bagi aksi persahabatan dan kelayakan.

“Harap semua baik selepas dapat suntikan dan kita sama-sama berdoa agar pemain dan pegawai mendapat manfaat vaksin ini,” katanya selepas selesai menerima dos pertama.

Skuad bimbingan Cheng Hoe akan berlepas ke Dubai pada pertengahan bulan depan bagi menghadapi dua siri perlawanan persahabatan sebelum mengharungi pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Beliau berkata, kira-kira 50 daripada 78 pemain dan pegawai Harimau Malaya hadir ke program tersebut, dengan bakinya akan disuntik pada Khamis ini.

“Ada beberapa pemain yang tidak sempat untuk mengambil vaksin hari ini, tetapi mereka dijangka akan hadir di sini pada Khamis nanti.

“Saya fikir, vaksin ini melampaui bola sepak. Semua perlu dapatkan vaksin. Sudah tentu kami akan lebih yakin,” katanya.

Menurutnya lagi, FAM menyenaraikan 38 pemain untuk divaksinkan  bagi memudahkan Cheng Hoe memilih senarai akhir yang akan dibawa ke Dubai untuk perlawanan persahabatan menentang Kuwait pada penghujung Mei depan.

“Ini penting untuk pemain, pegawai dan jurulatih yang akan pergi ke luar negara kerana mereka lebih yakin kerana lebih elok berlepas ke luar negara sekali gus bagus untuk moral masing-masing.

“Setakat ini, Cheng Hoe akan pantau dahulu mana pemain yang akan dibawa jadinya selepas Raya Aidilfitri nanti akan umum senarai akhir pemain,” tegasnya.

 

 


Tags

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: