Hoki Semasa Terkini

UniKL, THT berentap di final

  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Barisan pemain UniKL meraikan kejayaan melangkah ke pentas final.

Oleh : Subkhi Sudarji

UniKL dan Terengganu Hockey Team (THT) akan berentap dalam aksi final Piala TNB selepas kedua-dua pasukan mengetepikan cabaran lawan masing-masing pada perlawanan separuh akhir kedua di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.

Saingan perlawanan akhir 2021 merupakan ulangan kepada perlawanan akhir tahun lepas yang menyaksikan UniKL menjulang kejuaraan. UniKL mara selepas mengatasi TNB 3-1 untuk layak ke akhir dengan agregat 4-1.

Juara Liga itu terpaksa mengharungi tentangan sengit TNB pada tiga suku pertama sebelum membenam peluang TNB dengan menerusi dua gol lewat pada suku keempat.

Peluang TNB tampak terbuka apabila Muhammad Shamir menyudahkan peluang di depan melepasi penaga gol UniKL Adrian Andy.

Begitupun, UniKL mula bangkit pada suku keempat dengan Muhammad Hafiz Zainol membuka jaringan penting untuk menyelamatkan UniKL menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-46.

Muhammad Marhan Jalil menyerlah dengan gol pada minit ke-53 manakala Muhammad Razie Rahim menambah koleksi gol dan memuktamadkan tiket final menerusi gol pada minit ke-59.

Jurulatih UniKL Megat Azrafiq Megat Termizi lega dengan kejayaan mara sekali lagi ke akhir dan memuji kekentalan pemain bertahan dan bersabar dalam permainan.

“Kami hanya mengekalkan struktur permainan, bersabar  dan hanya tunggu masa yang sesuai untuk membolosi gol lawan, dan strategi itu berjaya,” kata beliau yang berkata saingan menentang THT di final nanti pasti ditunggu-tunggu.

THT menumpaskan Maybank 2-1 untuk layak ke perlawanan akhir

THT, yang dikecewakan UniKL tahun lepas, menumpaskan Maybank 2-1 untuk layak ke perlawanan akhir untuk tahun ketiga berturut-turut dengan aggregate 4-1.

Gergasi Pantai Timur itu nyata menguasai gerakan sepanjang 60 minit perlawanan dengan permainan yang kemas tanpa memberi Maybank banyak peluang untuk merlancarkan serangan.

Perancangan jurulatih THT K. Rajan untuk menekan dan mencari kemenangan dengan gol nyata menjadi apabila Luqmannul Hakim Ahmad Shukran menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-3.

“Kami tahu bahawa Maybank turun dengan rancangan menyerang habis-habisan…strategi kami ialah hanya tunggu dan melakukan serangan balas dan memaksa mereka lakukan kesilapan,” kata beliau.

Maybank berjaya membalas untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi jaringan padang Alfarico Lance Liau Jr pada minit ke-24.

Muhammad Sufi Ismat Rohulami memastikan kemenangan dan agregat selesa buat THT apabila meledak pada minit ke-39 untuk memastikan tiket ke final milik THT.

“Tugas penting kini ialah memastikan persediaan secukupnya untuk perlawanan akhir dan pemain akan jalani latihan akhir pada Jumaat ini untuk muktamadkan strategi,” kata Rajan.

Jurulatih Maybank Azrul Effendy Bistamam nyata kecewa kerana terdapat beberapa peluang yang disia-siakan.

“ Kami akan bersiap semula untuk penentuan tempat ketiag dan cabaran kini ialah menaikkan semula semangat pemain,” kata beliau.


  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  
  •  

Add Comment

Click here to post a comment

Leave a Reply

%d bloggers like this: